UNI-MLC syor kerajaan kaji lantikan tak berpencen, bukannya kontrak

UNI-MLC syor kerajaan kaji lantikan tak berpencen, bukannya kontrak

Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie berkata, beliau yakin rakyat boleh menerima perkhidmatan awam tidak berpencen kerana pelantikan kontrak sudah menjadi stigma.

Mohamed Shafie BP Mammal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan wajar mempertimbangkan skim perkhidmatan awam tanpa berpencen, bukannya lantikan secara kontrak bagi mengelakkan kebimbangan dan ketakutan rakyat, kata Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Malaysia (UNI-MLC).

Presidennya Mohamed Shafie BP Mammal berkata, beliau yakin rakyat boleh menerima perkhidmatan awam tidak berpencen kerana pelantikan kontrak sudah menjadi stigma dari segi jaminan kerja dan diskriminasi kerjaya.

“Pelantikan kontrak adalah satu stigma. Persepsi ramai pelantikan secara kontrak tiada jaminan kerja, boleh dihentikan bila-bila masa, masa depan tidak tetap, dan bimbang akan ada dikriminasi.

“Perkhidmatan tetap tanpa berpencen dan perkhidmatan tetap berpencen merupakan dua perkara yang berbeza. Begitu juga pelantikan secara kontrak dan pelantikan tetap.”

Beliau yang merupakan timbalan presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum Jabatan Telekom diswastakan lebih 3 dekad lalu memberitahu, banyak kes dan kejadian sebelum ini menunjukkan pelantikan kontrak berakhir dengan pengalaman pahit dan hitam di kalangan pekerja termasuk dalam sektor kerajaan.

“Sekiranya benar pelantikan berpencen membebankan kerajaan dari segi kewangan, kerajaan boleh mengkaji semula dan memperkenalkan sistem pelantikan tetap tanpa berpencen,” kata bekas timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini kepada FMT.

Justeru kata beliau, itu sebabnya pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah minggu lalu mencetuskan rasa tidak puas hati dan kurang senang di kalangan pelbagai pihak, termasuk pemimpin kesatuan sekerja dan ahli politik.

“Pengumuman itu dilihat sebagai satu kejutan di kalangan banyak pihak. Kita tidak dijelaskan definisi dan mekanisme dengan betul sampai ramai terkejut dan marah,” kata beliau yang memahami isu yang dihadapi oleh kerajaan sebagai majikan perkhidmatan awam.

Beliau juga mempertikaikan kesesuaian masa Borhan mengumumkan perkara itu iaitu beberapa hari sebelum bersara wajib pada 6 Sept lalu.

“Pengumuman ini meletakkan kerajaan semasa dalam keadaan berisiko,” kata beliau.

Borhan yang bersara 6 Sept lalu berkata, mekanisme baru yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baru dalam sektor itu.

Katanya, inisiatif yang disasarkan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.

Tambah beliau, kaedah mengurangkan bebanan pencen bagi kerajaan sudah pun dilaksanakan tetapi bukan dalam skala besar.

Shafie menambah kerajaan boleh memperkenalkan semula pendekatan penswastaan sebagaimana diamalkan sebelum ini jika benar kewangan terus menjadi beban.

“Kita masih ada opsyen tanpa mengejutkan banyak pihak. Penswastaan merupakan antara pilihan. Pekerja swasta akan menerima gaji lebih baik dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan jaminan keselamatan sosial (Perkeso),” kata beliau.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan penghentrian skim pencen kakitangan awam.

Katanya kerajaan mungkin akan meneruskan skim pencen namun langkah pelaksanaan sesuai harus dicari bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Beliau menegaskan Kabinet belum membincangkan dan memutuskan perkara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.