
Dipercayai sekurang-kurangnya 20 pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tiba sebelum jam 11 malam dengan diiringi polis di satu acara tertutup di Kempas, di mana pengikut menghadiri upacara memperingati ulang tahun kematian Hussein, cucu Nabi Muhammad.
“Pegawai polis dan JAINJ datang dengan trak Black Maria, dan sekurang-kurangnya 6 kereta peronda,” kata seorang saksi kepada FMT.
FMT difahamkan 8 orang ditahan, termasuk seorang warga Yaman dan 2 warga Singapura. Mereka belum dibebaskan ketika berita ini disiarkan.
Dipercayai mereka disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana melanggar perintah sultan, mufti serta fatwa, yang membawa hukuman denda RM3,000 dan 1 tahun penjara.
Di Bandar Sunway dekat sini, pihak berkuasa Islam Selangor menyerbu satu acara tertutup yang dihadiri penganut Islam Pakistan bagi mengingati Hari Asyura, dalam tindakan keras berterusan terhadap pengikut Syiah, yang disokong Menteri Besar Amirudin Shari.
Amirudin berkata serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas penganut Syiah di Gombak minggu lalu mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Trak yang digunakan ketika menahan pengikut Syiah termasuk wanita dan kanak-kanak di pusat kegiatan Syiah di Gombak, Selangor pada 6 Sept lalu.Beberapa tangkapan dibuat, sebagai tambahan terhadap 23 yang ditahan pada 6 Sept dalam serbuan Jais di sebuah pusat kegiatan Syiah di Gombak.
Tindakan terbaru ini dilihat bertentangan dengan dasar lalu pada 2013 yang membolehkan orang asing mengamalkan kepercayaan mereka, yang diberikan menteri hal ehwal agama ketika itu, Jamil Khir Baharom.
“Kita tidak pernah kacau orang Syiah. Tetapi di Malaysia, orang Malaysia yang sudah beragama Islam, tidak boleh dikembangkan ajaran itu,” kata Jamil.
FMT sebelum ini melaporkan kedutaan Iran di Kuala Lumpur terpaksa campur tangan selepas seorang wanita negara itu ditahan apabila rumahnya di Ampang diserbu Jais semasa upacara tertutup memperingati Hari Asyura.
Pertanyaan yang diajukan ke kedutaan itu tidak dijawab, satu petunjuk bahawa Tehran amat berhati-hati menjelang lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Iran, yang diterima baik di Iran kerana kenyataan-kenyataan terbukanya menghentam Barat dan Washington.
Kementerian luar Iraq pada 2017 mengutuk pihak berkuasa Malaysia kerana menahan beberapa rakyatnya yang menghadiri acara tertutup Hari Asyura di Serdang, Selangor. Mereka dibebaskan selepas campur tangan kedutaan Iraq di Kuala Lumpur.
Pihak berkuasa agama di Malaysia sejak sekian lama menguatkuasakan fatwa mengisytiharkan ajaran Syiah sebagai “sesat”, melancarkan serbuan yang menyasarkan warga tempatan.
Syiah, fahaman Islam kedua terbesar yang mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.
Tetapi pihak berkuasa Islam negeri di Malaysia mengisytiharkan ajarannya sebagai “menyimpang” dengan khutbah di Selangor sering melabel pengikutnya sebagai sesat.