Rakaman audio didakwa pembantu exco Perak dihantar pada forensik

Abdul Yunus Jamhari didakwa membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri bagi tujuan mendapatkan komisen projek. (Gambar Bernama)

PARIT: Polis akan menghantar rakaman audio didakwa perbualan pembantu seorang exco Perak yang dikatakan cuba menyelesaikan kes dengan pegawai penyiasat kepada pihak forensik bagi mengenal pasti suara pihak terlibat.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata ia bagi menyiasat dengan lebih lanjut, selain mengenal pasti pemilik suara itu.

“Rakaman suara sudah dihantar kepada forensik untuk dianalisis sama ada ia suara pegawai penyiasat polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dua siasatan dilakukan kerana (rakaman suara) tidak menyatakan daripada mana,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi Perkep Perak Tengah hari ini.

Beliau berkata, polis sudah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang diterima.

Pada 15 Ogos lalu, sebuah portal berita tempatan melaporkan Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri menafikan dakwaan audio itu ialah perbualan pembantunya yang cuba menyelesaikan kes dengan polis dan SPRM.

Terdahulu pada 13 Julai lalu, bekas pegawai exco itu, Beh Yong Kean membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa exco berkenaan membocorkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan komisen projek.

Kes itu melibatkan 2 kertas siasatan, yang pertama berkaitan laporan polis bekas pegawai khas Yunus, Beh Yong Kean yang mendakwa exco tersebut membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri dan ia disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi.

Satu lagi kertas siasatan berhubung laporan polis ke atas Beh yang dibuat Yunus dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.