Raja Permaisuri: ‘Saya sedih dan marah, terus aktifkan Twitter’

Raja Permaisuri: ‘Saya sedih dan marah, terus aktifkan Twitter’

Tunku Azizah sekali lagi memaklumkan akaun Twitternya dinyahaktifkan bukan kerana beberapa individu yang dituduh menghinanya.

PETALING JAYA:
Raja Permaisuri Agong muncul seketika di Twitter bagi menyatakan rasa terkilan terhadap tangkapan ke atas individu didakwa menghina baginda di media sosial, selepas seorang pemuda disahkan ditahan polis semalam.

“Saya sedih dan marah dan terus aktifkan Twitter. Tidak ada niat saya supaya mereka itu ditangkap polis. Saya beritahu pihak Istana untuk beritahu pihak polis jangan ambil tindakan,” katanya hari ini.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengaktifkan semula akaunnya pagi tadi di sebalik emosi membuak-buak beberapa pengguna Twitter yang merayunya supaya kembali menceriakan garis masa.

Baginda menyahaktifkan akaun Twitter atas sebab peribadi, namun penutupan itu dispekulasikan oleh beberapa pengguna Twitter hingga ada yang percaya ia berkaitan dengan beberapa komen yang didakwa dibuat terhadapnya.

Spekulasi orang ramai menyaksikan tanda pagar #AmpunTuanku menjadi trending di Twitter, disusuli tindak balas yang hebat, termasuk pendedahan maklumat peribadi individu-individu yang dituduh menghina Tunku Azizah.

Bukit Aman kemudian membuka siasatan bawah Akta Hasutan selepas menerima satu laporan berhubung penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong. Setakat ini, bekas ketua pemuda PSM Khalid Ismath disahkan ditahan polis dan dibebaskan tengah hari tadi.

Tunku Azizah bagaimanapun tidak sedar tentang komen-komen orang-orang yang dituduh.

“Saya ulang, saya nyahaktif akaun saya bukan kerana mereka,” katanya.
Kunjungan FMT ke akaun Twitternya mendapati ia sekali lagi telah dinyahaktifkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.