Beratus peneroka Yahudi rempuh masuk kompleks Masjid Al-Aqsa

(Gambar AFP)

BAITULMAQDIS: Beratus-ratus peneroka Yahudi pada Selasa merempuh masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa tempat suci itu.

“Kira-kira 154 peneroka Yahudi telah memasuki pekarangan masjid itu,” kata Pihak Berkuasa Wakaf Agama — agensi kendalian Jordan yang bertanggungjawab mengawasi tempat suci umat Islam dan Kristian.

Menurut kenyataan itu, peneroka terbabit telah memasuki Al-Aqsa dengan diiringi polis Israel melalui Pintu Pagar Al-Mugharbah.

Bagi umat Islam, Al-Aqsa adalah tapak ke-3 paling suci di dunia manakala Yahudi merujuk kawasan itu sebagai Kuil Gunung dan mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman purba.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur yang menempatkan Al-Aqsa semasa Perang Arab-Israel pada 1967.

Dalam langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, Israel telah mengilhakkan keseluruhan bandar itu pada 1980.