Tanah Kg Baru: Kerajaan tawar hingga RM6 juta satu lot

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan tawaran untuk membeli tanah di Kampung Baru, hartanah utama orang Melayu di ibu negara, dengan nilai bakal mencecah RM6 juta satu lot.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dalam sesi townhall bersama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini pagi ini.

Dipetik Malay Mail Online, Khalid berkata beliau difahamkan purata keluasan setiap lot 8,000 kaki persegi.

“Saya diberitahu purata plot tanah ada yang sampai 8,000 kaki persegi. Ia bermakna kadar nilai boleh RM6 juta lebih,” kata beliau.

Bernama melaporkan, kerajaan menawarkan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.

Katanya, tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

“Selain nilai harga tanah, apa-apa struktur atau bangunan di atas tanah pemilik dan pewaris juga turut akan dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.

“Oleh itu, jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah tersebut,” katanya.

Khalid berkata pemilik dan pewaris tanah boleh memilih antara empat tawaran jual beli iaitu dalam bentuk pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas.

“Tawaran jual beli ini adalah berdasarkan lot tanah dan bukannya setiap pemilik yang berdaftar.

“Kerajaan menegaskan bahawa pemilikan tanah di Kampung Baru ini akan tetap menjadi hak orang Melayu tanpa kompromi,” katanya.

Bagi pulangan tunai dan separa tunai, 10 peratus daripada harga kaedah pembayaran akan diberi selepas perjanjian jual beli ditandatangani manakala selebihnya akan diberi selepas borang pindah milik 14A Kanun Tanah Negara didaftarkan, katanya.

Beliau berkata hasil pembangunan semula Kampung Baru dilihat dapat mengembangkan pemilikan hartanah orang Melayu di kawasan segi tiga emas ibu negara.