
Ketua Polis Jasin Lee Robert, berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan sekitar 2 petang semalam.
“Bagaimanapun, lelaki itu telah diberikan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Bernama.
Sementara itu, Adun Serkam, Zaidi Attan, berkata tindakan penguatkuasaan terhadap tapak berkenaan yang dibina di kawasan tanah rizab kerajaan dilaksanakan mengikut tatacara undang-undang, hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas semua bahan berkaitan aktiviti keagamaan dikeluarkan oleh pihak terlibat seperti yang dipersetujui.
“Perkara ini diputuskan hasil perbincangan antara wakil pemilik tanah, pemilik bangunan serta agensi terlibat yang diadakan semalam dan hari ini kita dapat sahkan semua bahan sembahan telah dikeluarkan sendiri oleh pihak berkenaan, sekali gus membolehkan tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya.
Zaidi berkata, pelaksanaan tindakan itu turut disaksikan wakil Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, polis, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan ia berjalan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan pihak berkuasa diarahkan menjalankan siasatan terhadap penemuan kalimah Allah dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di sebuah tokong di kawasan sama.