
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata suspek yang ditembak mati itu dipercayai terpengaruh dengan rakaman video bersifat ganas yang diterbit dari Timur Tengah.
“Lelaki itu juga datang dari keluarga baik tetapi akibat terpengaruh dengan video luar menyebabkan amukan berlaku,” katanya ketika sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Hamid turut memberi peringatan, polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita mengenai kejadian tersebut yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.
“Pihak polis sedang aktif mengambil tindakan dan ada artikel yang disiarkan dalam media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Memuat naik artiket itu jelas tidak tepat, tidak betul dengan niat untuk menyakitkan hati orang dan boleh mencetuskan pergaduhan. Tiada lagi amaran, tangkapan terus akan dibuat,” katanya.
Isnin lalu, polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, suspek yang berusia 25 tahun sebelum itu dipercayai mengamuk di dalam kilang terbabit dan menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.
Susulan kejadian itu, tersebar beberapa artikel di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mendakwa mangsa mati syahid selepas menetak mangsa yang dikatakan menghina Nabi Muhammad.