Polis Indonesia tahan 323 suspek, 14 syarikat terlibat bakar hutan

Polis Indonesia tahan 323 suspek, 14 syarikat terlibat bakar hutan

Hujan di wilayah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan mengurangkan jumlah titik panas.

Titik panas di Indonesia akibat kebakaran hutan berkurang kepada 1,744 hari ini berbanding 3,150 pada dua hari lepas. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang teruk dilanda jerebu, dilaporkan mulai hujan sejak malam tadi.

Hujan yang turun di beberapa kawasan di wilayah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, mengurangkan jumlah titik panas.

“Titik panas di Indonesia pada hari ini (Rabu) berkurang kepada 1,744 berbanding 3,150 titik panas pada dua hari lepas,” kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Agus Wibowo dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Polis Indonesia dan Kementerian Lingkungan Hidup (Alam Sekitar) dan Kehutanan menahan 323 suspek yang dipercayai terbabit dalam pembakaran hutan.

“Jumlah suspek 323 orang dan sebanyak 14 syarikat perladangan ditetapkan sebagai terbabit (suspek) dalam kebakaran hutan,” kata Ketua Biro Penerangan Masyarakat, Polis Indonesia, Dedi Prasetyo.

Sejak Januari lepas, lebih 300,000 hektar hutan dan ladang terbakar di beberapa wilayah di Indonesia, sehingga menyebabkan jerebu teruk serta turut menjejaskan Malaysia dan Singapura.

Gobernor Riau, Syamsuar, mengisyiharkan provinsi Riau di Sumatera berstatus darurat pencemaran udara berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, sehingga mencecah 700.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.