Guan Eng yakin jual aset bukan teras akan kurangkan liabiliti, hutang negara

Guan Eng yakin jual aset bukan teras akan kurangkan liabiliti, hutang negara

Hasil penyahlaburan apabila dikembalikan kepada perbendaharaan kerajaan dalam bentuk dividen, akan diperuntukkan ke arah pengurangan hutang dan liabiliti kerajaan, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Pejabat Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya dalam menyahlabur pelbagai aset bukan-teras dan bukan-kritikal untuk mengimbangkan kembali portfolio kerajaan.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata langkah menjual aset-aset bukan teras dan tidak kritikal akan membantu mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Lim berkata Pejabat Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya dalam menyahlabur pelbagai aset bukan teras dan bukan kritikal untuk mengimbangkan kembali portfolio kerajaan dan menjajarkan kembali peranan sektor awam.

“Hasil daripada penyahlaburan, apabila dikembalikan kepada perbendaharaan kerajaan dalam bentuk dividen, akan diperuntukkan ke arah pengurangan hutang dan liabiliti kerajaan,” kata beliau.

Katanya, kerajaan sedang berusaha secara aktif untuk mendapatkan kembali aset untuk dana yang telah diselewengkan daripada 1MDB di serata dunia.
Sebanyak RM925.1 juta telah dapat dikembalikan sehingga kini, tidak termasuk penjualan kapal layar mega Equanimity untuk RM523 juta, kata beliau.

“Jumlah ini dan hasil usaha pengembalian akan datang akan digunakan sepenuhnya untuk membayar kembali hutang-hutang 1MDB,” kata beliau lagi.

Jelas Lim, walaupun dibebani kekangan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu, kerajaan persekutuan tetapi komited terhadap usaha konsolidasi fiskal, dan pada masa yang sama memastikan Malaysia dapat kekal berkembang secara mampan, walaupun suasana ekonomi global adalah lemah.

Dua minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengulangi kebimbangannya mengenai keadaan kewangan negara berkata Putrajaya sedang berusaha untuk menjual hartanah tidak penting di dalam dan luar negara yang mampu memperoleh harga yang baik.

Kata beliau, hutang yang besar yang diwarisi kerajaannya daripada pentadbiran terdahulu menjejaskan jentera dan rancangan kerajaan untuk negara.

Hutang langsung bertambah

Dalam kenyataan hari ini, Lim menjelaskan meskipun jumlah hutang dan liabiliti kerajaan dikurangkan daripada 79.3 peratus berbanding KDNK pada 2017, kepada 75.4 peratus tahun lalu, hutang langsung bertambah daripada 50.1 peratus kepada 51.2 peratus dalam tempoh sama kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) menolak amalan pembiayaan luar belanjawan bagi menyembunyikan hutang-hutang meragukan.

Katanya, di bawah kerajaan PH semakan semula menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan dan ia mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan sehingga akhir 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion.

“Angka ini turut disahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dalam laporan mereka bertarikh 17 Julai 2019.

“Sebahagian besar daripada jumlah ini merupakan hutang dan liabiliti yang sengaja disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan oleh pentadbiran terdahulu,” kata beliau yang turut menjelaskan ini termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Lim berkata liabiliti lain sebanyak RM260.1 bilion termasuk perbelanjaan kerajaan luar belanjawan yang dinyatakan sebagai kerjasama awam swasta (PPP) atau inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

“Namun, kos pembiayaan, risiko dan obligasi kesemua projek ini dipikul oleh kerajaan persekutuan.

“PPP dan PFI telah disalahgunakan oleh kerajaan BN untuk memberi tanggapan palsu bahawa defisit belanjawan adalah rendah dan diiringi oleh paras keberhutangan yang lebih rendah,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan baru di bawah PH telah mendapat pengiktirafan daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis pelaburan atas peningkatan dalam ketelusan dan tahap tadbir urus yang baik.

Katanya, walaupun kedudukan kewangan kerajaan telah menjadi lebih telus, mereka telah berulang kali mengesahkan taraf kredit negara pada A-/A3, mengisyaratkan keyakinan mereka bahawa kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang konkrit untuk menangani kelemahan-kelemahan yang wujud.

Malah dalam tempoh masa yang singkat, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan telah berjaya dikurangkan secara ketara daripada 79.3 peratus berbanding KDNK pada 31 Dis 2017 kepada 75.4 peratus tahun lalu.

“Hutang 1MDB juga telah dikurangkan daripada 2.8% kepada 2.2% berbanding KDNK,” katanya.

Lim berkata hutang langsung meningkat daripada 50.1 peratus pada 2017 kepada 51.2 peratus pada 2018 untuk membiayai defisit kewangan secara langsung, tanpa kerajaan perlu menggunakan kaedah pembiayaan luar belanjawan untuk menyembunyikan hutang-hutang meragukan seperti yang diamalkan oleh pentadbiran dahulu

Pada masa yang sama, kata beliau jaminan kerajaan meningkat disebabkan oleh projek-projek sedang diteruskan seperti MRT2 dan Lebuhraya Pan-Borneo menerusi DanaInfra, serta LRT3 menerusi Prasarana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.