6 maut taufan Mitag badai Korea Selatan

6 maut taufan Mitag badai Korea Selatan

Sehingga 1.30 tengah hari tadi, Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan berkata enam orang mati dan empat lagi cedera.

Kereta tenggelam selepas taufan Mitag membawa hujan lebat dan banjir di Gangneung, Korea Selatan hari ini. (Gambar Reuters)
SEOUL:
Enam orang terbunuh apabila taufan Mitag membadai Korea Selatan hari ini.

Mitag, taufan ke-18 tahun ini, membawa hujan lebat di bahagian selatan Korea Selatan.

Sehingga 1.30 tengah hari tadi, Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan berkata enam orang mati dan empat lagi cedera.

Sebahagian daripada enam orang maut di bawah runtuhan struktur manakala yang lain lemas, kata kementerian.

Lebih 100 rumah dan struktur premis swasta lain dinaiki air dengan lebih 1,500 terlibat dalam pemindahan rumah mereka di wilayah tenggara, kata kementerian itu.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan di Uljin, wilayah Utara Gyeongsang, curahan hujan mencapai 104.5 milimeter sejam, tertinggi sejak pihak berkuasa mengumpul data pada 1971.

Kota Donghae, wilayah Gangwon pula menerima curahan hujan sebanyak 67.4 milimeter sejam, angka tertinggi sejak 1992.

“Walaupun taufan mula bergerak ke Laut Timur, hujan lebat dijangka berterusan sehingga lewat hari ini di kawasan pesisiran pantai timur di wilayah Gangwon, serta di pulau Dokdo dan pulau Ulleung,” kata KMA.

Awal hari ini, seorang wanita berusia 70-an meninggal dunia setelah dihanyutkan arus deras dalam kejadian di tenggara bandar Pohang.

Di Samcheok, wilayah Gangwon, hujan lebat menyebabkan tanah runtuh menyebabkan seorang wanita yang sedang tidur maut akibat dihempap dinding runtuh. Nahas sama berlaku di tenggara daerah Yeongdeok, mengakibatkan seorang maut, menurut pihak berkuasa bencana.

Satu lagi kematian turut dilaporkan semalam, di sebuah kampung pertanian di Seongju, wilayah Utara Gyeongsang membabitkan seorang lelaki berusia 76 tahun.
Lebih 1,500 orang di selatan pulau Jeju dan kawasan tenggara lain dipindahkan ke tempat perlindungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.