Kerajaan akan pertimbang tuntutan Kongres Maruah Melayu, kata Dr M

SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya tidak perlu melaksanakan semua tuntutan yang disuarakan dalam Kongres Maruah Melayu, tetapi kerajaan akan meneliti tuntutan daripada lima kluster itu.

“Kita lihat apa boleh dan apa yang kita tak boleh (buat),” katanya pada sidang media di Kongres Maruah Melayu hari ini.

Resolusi yang dibentangkan dalam kongres hari ini meliputi lima kluster ialah budaya, ekonomi, pendidikan, agama dan politik yang akan diserahkan kepada kerajaan.

Terdahulu, kluster agama Kongres Maruah Melayu menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membetulkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Hifz Ad Din.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mewakili kluster agama dilaporkan menggesa kerajaan melantik orang Melayu dan beragama Islam aliran Sunnah untuk jawatan utama di peringkat negeri dan negara, termasuk jawatan peguam negara.

“Jawatan itu antaranya perdana menteri, timbalan perdana menteri, kementerian kewangan, kementerian pertahanan, kementerian pendidikan, kementerian dalam negeri dan pihak berkuasa negeri,” katanya.