
Pengarah strateginya Wan Agyl Wan Hassan, yang juga bekas ketua bahagian dasar dan perancangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, syarat lesen PSV itu akan mengakibatkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bilangan pemandu.
“Saya kecewa menteri tidak memberitahu dengan jelas masalah dihadapi pemandu, terutama syarikat e-panggilan,” katanya pada satu sidang media di sini.
Beliau berkata, pemandu membangkitkan kebimbangan mereka, terutama berhubung ujian PSV dan syarat berkaitannya melibatkan permit kenderaan e-panggilan.
Katanya, setakat ini hanya 25 peratus pemandu e-panggilan yang berdaftar, sedangkan hanya tinggal dua hari sebelum peraturan tersebut berkuat kuasa.
Beliau menyoal sama ada tindakan akan diambil ke atas baki 75 peratus pemandu yang belum berdaftar.
“Jika kerajaan mengambil tindakan ke atas pemandu yang belum berdaftar, maka mereka perlu sedar bahawa ia tidak adil,” katanya.