Singapura haram iklan minuman dipakej tinggi gula

Singapura haram iklan minuman dipakej tinggi gula

Sehubungan itu, minuman memiliki kandungan gula sederhana dan tinggi akan dikehendaki meletakkan label di bahagian depan pek untuk memberi amaran kepada pengguna.

Singapura bakal tampil sebagai negara pertama di dunia mengharamkan iklan minuman dipakej yang memiliki kandungan gula amat tinggi. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Singapura bakal tampil sebagai negara pertama di dunia mengharamkan iklan minuman dipakej yang memiliki kandungan gula amat tinggi, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik pengumuman Menteri Kanan Negara Bagi Kesihatan Edwin Tong.

Sehubungan itu, minuman memiliki kandungan gula sederhana dan tinggi akan dikehendaki meletakkan label di bahagian depan pek untuk memberi amaran kepada pengguna.

Label itu akan diberikan kod warna dan menunjukkan satu gred bagi menyatakan sama ada minuman itu sihat, neutral atau tidak sihat.

Tong berkata semua perubahan ini direka bagi menggalakkan orang ramai membuat lebih banyak pilihan bermaklumat dan memaksa pengeluar mengurangkan kandungan gula dalam minuman manis yang dipakej (SSB).

Langkah itu adalah antara usaha negara tersebut memerangi diabetes, isu kesihatan semasa yang serius.

Pada Dis 2018, Kementerian Kesihatan Singapura dan Lembaga Promosi Kesihatan memulakan konsultasi awam selama lapan minggu tentang cara untuk mengurangkan pengambilan gula di negara itu.

Empat kaedah telah disyorkan – label di bahagian depan pek yang mandatori, peraturan mengenai pengiklanan, cukai gula dan pengharaman minuman manis dengan kandungan gula tinggi yang dipakej.

Penggunaan label yang wajib telah mendapat sokongan paling tinggi dengan 84% daripada lebih 4,000 responden menyokong.

Tong berkata agensi-agensi Singapura akan terus mengkaji satu duti eksais atau mengharamkan SSB yang kandungan gulanya adalah tinggi.

Kebanyakan pengeluar minuman yang memiliki kandungan gula sederhana dan tinggi tidak menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kandungan gula.

Minuman yang memiliki kandungan gula tinggi adalah popular di Singapura, menyumbang separuh daripada semua minuman manis yang dijual di negara itui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.