Ketua hakim timbang bonus kepada Yang Arif berprestasi

Ketua hakim timbang bonus kepada Yang Arif berprestasi

Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata skim sedemikian akan menggalakkan badan kehakiman mengeluarkan lebih banyak penghakiman berkualiti tinggi.

Federal Court
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata tidak seperti di Singapura, gaji hakim Malaysia didedahkan secara umum di bawah Akta Saraan Hakim.
PUTRAJAYA:
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata akan meneroka kemungkinan perkenalkan bonus prestasi untuk hakim yang tekun menjalankan tugas, sepertimana diamalkan di Singapura.

Beliau berkata, skim sedemikian akan menggalakkan hakim mengeluarkan lebih banyak penghakiman berkualiti tinggi.

“Ia adalah idea yang bagus. Saya boleh meneroka kemungkinan itu kerana mesti ada sedikit galakan kepada hakim yang berprestasi,” katanya kepada pemberita dalam temu bual sempena 100 hari memegang jawatan ketua badan kehakiman.

Beliau berkata demikian menjawab sama ada akan mempertimbangkan langkah sedemikian memandangkan rakan sejawatnya di republik berkenaan membayar bonus prestasi kepada hakim.

Di Singapura, kerajaan memperuntukkan dana kepada badan kehakiman, dan ketua hakim negara menentukan berapa bulan bonus yang akan diberikan berdasarkan prestasi hakim.

Buat permulaan, Wan Ahmad Farid berkata skim itu boleh dihadkan kepada hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, memandangkan bilangan mereka kecil.

Namun, beliau menjelaskan bahawa ‘kita tidak boleh buat perbandingan dengan Singapura kerana ia bukan situasi yang setara’.

“Di sana, mereka menggalakkan sektor swasta (peguam) menyertai badan kehakiman,” katanya.

Beliau menyatakan, di Singapura hakim tidak mengetahui gaji satu sama lain, tidak seperti di Malaysia di mana skala gaji disenaraikan secara terbuka di bawah Akta Saraan Hakim 1971.

Seorang hakim Mahkamah Persekutuan memperoleh gaji asas RM28,500; hakim Mahkamah Rayuan RM27,500; dan hakim Mahkamah Tinggi RM26,500. Pesuruhjaya Kehakiman menerima RM25,500.

Gaji asas ketua hakim negara ialah RM36,000; presiden Mahkamah Rayuan memperoleh RM31,500; dan hakim besar Malaya, dan Sabah dan Sarawak menerima RM30,000.

Hakim tidak menerima kenaikan gaji tahunan, berbanding penjawat awam dan pekerja sektor swasta.

Mereka dijangka menerima kenaikan gaji 30% mulai 1 Jan 2026 – kenaikan pertama dalam tempoh 10 tahun – seperti yang diluluskan dalam belanjawan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.