
“Ia adalah sesuatu yang kita tidak mahu ia berlaku, bukan hanya antara Malaysia dan India, tetapi antara Malaysia dan mana-mana negara lain berhubung perkara itu.
“Apabila berlakunya perlindungan perdagangan dan perang perdagangan, seperti yang sedang berlaku sekarang, ia adalah tidak sihat bagi pertumbuhan perdagangan global kerana apabila terjadinya perang perdagangan antara dua negara, kita turut sama terjejas,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai Hari Eksport Nasional (NED) Matrade 2019 hari ini.
Dilaporkan sebelum ini bahawa India sedang menimbang mengehadkan import ke atas beberapa produk dari Malaysia termasuk minyak sawit selepas Putrajaya mengkritik tindakan New Delhi ke atas Kashmir.
Wan Latiff berkata, buat masa ini, tiada keputusan secara rasmi dibuat oleh kerajaan India dan Malaysia terutamanya Kementerian Industri Utama sedang memantau perkembangan tersebut.
NED 2019 yang akan berlangsung di Menara Matrade di sini pada 24 Okt, adalah satu usaha daripada agensi itu untuk menggerakkan komuniti pengeksport Malaysia mengembangkan lagi kedudukan global mereka dalam keadaan landskap ekonomi yang semakin mencabar.