Ramasamy bidas seruan Azmin kekalkan Dr M hingga habis penggal

Ramasamy bidas seruan Azmin kekalkan Dr M hingga habis penggal

Pemimpin DAP berkata Azmin Ali tidak boleh pura-pura seperti tidak ada rancangan alih kuasa.

Ramasamy berkata Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri atas dasar sementara.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP P Ramasamy menghentam Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali susulan kenyataan bahawa Dr Mahathir Mohamad patut kekal sebagai perdana menteri sepanjang mandat lima tahun Pakatan Harapan.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mempersoalkan rancangan serah kuasa daripada Mahathir kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim suatu bentuk “masuk ikut pintu belakang yang peling teruk”.

“Jika Mahathir dibenarkan untuk menghabiskan penggal lima tahun sepenuhnya, jadi Azmin perlu jelaskan apa jadi dengan perjanjian PH bahawa Mahathir harus serah kuasa kepada Anwar dalam masa dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perjanjian yang ditandatangani PH sebelum pilihan raya umum ke-14, Mahathir harus serah kuasa kepada Anwar, tetapi tiada tarikh dinyatakan. Bagaimanapun, tempoh masa dua tahun selalu disebut.

Ramasamy berkata Mahathir yang berusia 94 tahun itu mungkin “tidak tetap” mengenai tarikhnya tetapi hakikatnya adalah beliau atas dasar sementara.

Jika Azmin, timbalan presiden PKR, merasakan Anwar bukan calon yang sesuai untuk menggantikan Mahathir, beliau patut berterus-terang, katanya.

“Azmin mungkin ada perselisihan dengan Anwar tetapi ia tak patut mempengaruhi beliau hingga menidakkan perjanjian itu,” katanya.

Beliau menambah Azmin mesti faham bahawa Mahathir hanya perdana menteri sementara.

“Kalau Anwar tidak dipenjarakan semasa pilihan raya umum lepas, beliau yang akan jadi perdana menteri, bukan Mahathir. Azmin mesti berhati-hati dan tidak melemahkan atau mensabotaj kenaikan Anwar.”

Ramasamy berkata Azmin tidak boleh berpura-pura seperti tidak ada perjanjian mengenai serahan kuasa dari Mahathir kepada Anwar.

“Saya berharap Azmin sedar implikasi serius daripada keengganan mematuhi perjanjian bersejarah yang dibuat sebelum pilihan raya umum lepas.

“Keengganan mematuhi rancangan itu akan menyebabkan kerajaan semasa tidak sah,” katanya.

Beliau menambah Azmin “menembak kaki sendiri” apabila mempersoalkan rancangan serah kuasa itu.

Terdahulu, Azmin mengulangi seruan kepada Mahathir agar kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal, disebalik dakwaan beliau bertemu seorang bekas pemimpin Umno bagi menghalang Anwar mengambil alih jawatan tertinggi kerajaan itu.

Azmin menepis dakwaan mengatakan beliau merancang untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri dan berkata mengekalkan Mahathir akan jadi jaminan kepada pelabur bahawa lanskap politik masih stabil dan ekonomi di landasan yang betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.