Malaysia buka kedutaan di Jordan bantu Palestin

Malaysia buka kedutaan di Jordan bantu Palestin

Malaysia akan buka kedutaan untuk Palestin di Jordan bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih mudah.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatan dari Bangladesh, Sheikh Hasina (kiri) di luar Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 hari ini. Turut hadir Menteri Luar Saifuddin Abdullah (kanan). (Gambar Bernama)
BAKU:
Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat.

Kedutaan itu akan ditempatkan di Jordan, katanya ketika menyampaikan ucapan kepada para pemimpin dan wakil dari 120 negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada sidang kemuncak NAM ke-18.

“Kami tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu kami akan membuka kedutaan di Jordan,” kata Mahathir.

Perdana menteri berkata pembukaan kedutaan itu akan membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin lebih mudah, walaupun beliau akui Israel akan mencari jalan untuk memastikan tidak ada bantuan yang akan sampai ke Palestin.

“Saya juga ingin memberitahu sidang kemuncak ini mengenai nasib malang saudara-saudara Palestin kita. Palestin masih diduduki oleh rejim yang kejam. Rejim ini terus memperluas penempatan haram di tanah yang dimiliki oleh rakyat Palestin,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.