Anwar: Boleh bincang peralihan kuasa dalam Majlis Presiden PH, tapi bukan topik utama

Anwar: Boleh bincang peralihan kuasa dalam Majlis Presiden PH, tapi bukan topik utama

Mahathir dilaporkan bersetuju untuk membawa isu peralihan kuasa ke dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, Majlis Presiden PH perlu memfokus kepada isu ekonomi yang membabitkan rakyat.
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) boleh membincangkan isu peralihan kuasa, namun ia tidak seharusnya dijadikan topik utama, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar sebaliknya berkata, mesyuarat Majlis Presiden seharusnya membincangkan isu dan masalah yang melanda keseluruhan majoriti rakyat Malaysia iaitu ekonomi.

“Kalau Majlis Presiden PH hendak bincang boleh, tetapi kita perlu fokus tentang ekonomi dan biar Dr Mahathir Mohamad mengemudi pentadbiran negara dengan berkesan. Kita perlu terus bergerak ke hadapan.

“Fokus kepada isu ekonomi, apabila ada cubaan untuk menjejaskan proses (peralihan kuasa), pembangkang seharusnya tidak mengganggu kita, sebaliknya harus fokus pada masalah ekonomi.

“Buat masa ini, biarlah Mahathir menjalankan tugasnya,” kata beliau sewaktu ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa di sini, hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata beliau bersetuju untuk membawa isu peralihan kuasa ke dalam mesyuarat Majlis Presiden PH memandangkan platform yang sama membincangkan pemilihan calon jawatan Perdana menteri sebelum ini.

Anwar berkata, beliau percaya antara isu berbangkit yang akan dijadikan agenda mesyuarat Majlis Presiden PH adalah membabitkan tempoh peralihan kuasa akan berlaku.

“Ada keperluan dibincangkan, memandangkan sebelum ini sudah ada konsensus. Apa yang Mahathir maksudkan adalah mengenai tempoh masa. Namun dia (Mahathir) tidak pernah pertikaikan isu pengganti,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menafikan laporan bahawa PKR telah bersetuju menerima kemasukan bekas pemimpin Umno Sabah, Salleh Said Keruak ke dalam parti berkenaan.

“Belum. Kita ada proses yang masih berjalan. Kalau PKR Sabah sudah setuju, dia kena bawa kepada kita dan kena mesyuarat dahulu. Kita belum putuskan. Selalunya kita tanya pendapat cabang dan pendapat negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.