
Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang kini menempatkan 600 mangsa daripada 167 keluarga berbanding 591 mangsa daripada 164 keluarga, semalam.
“Turut menunjukkan peningkatan ialah di SK Pasangan, yang mencatatkan 150 mangsa daripada 50 keluarga berbanding 117 mangsa daripada 37 keluarga semalam, manakala dua lagi PPS iaitu di SK Jaya Setia dan SK Ijok pula kekal dengan masing-masing 47 mangsa daripada 16 keluarga dan 72 mangsa daripada 49 keluarga,” katanya.
Kenyataan itu menyebut SSCC akan terus memantau situasi banjir di kawasan terlibat selain menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Di Perak, sebuah lagi PPS mangsa banjir dibuka di daerah Manjung, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh PPS berbanding enam semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, seramai 28 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pantai Remis di daerah Manjung, iaitu PPS baharu yang dibuka lewat tengah malam tadi.
Beliau berkata setakat pukul 8 pagi ini, daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 348 mangsa membabitkan 90 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.
“Seramai 222 mangsa daripada 55 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap (83 mangsa, 21 keluarga) dan SK Dato’ Yahya Subban (43 mangsa, 14 keluarga),” katanya.
Menurut jurucakap itu lagi, seramai 188 lagi mangsa banjir daripada 48 keluarga di daerah Kerian masih ditempatkan di dua PPS iaitu SK Changkat Lobak (149 mangsa, 35 keluarga), manakala seramai 39 mangsa daripada 13 keluarga di Dewan Parit Haji Aman.
Seramai 53 penduduk daripada 12 keluarga lagi masih berada di Dewan Serbaguna Kampung Haji Tahir susulan banjir di Tapah dalam daerah Batang Padang, katanya.
Katanya, ini menunjukkan mangsa banjir di Perak semakin bertambah apabila seramai 617 penduduk daripada 157 keluarga ditempatkan di tujuh PPS berbanding 550 penduduk daripada 150 keluarga malam tadi.
Di Perlis, sebuah PPS dibuka di Padang Besar malam tadi selepas hujan lebat petang semalam mengakibatkan banjir kilat serta beberapa buah rumah di Arau dan Padang Besar ditenggelami air.
Menurut Sekreteriat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, PPS di
Masjid Bonggol Sena, Chuping itu menempatkan 19 keluarga dengan 81 mangsa.
“Lapan buah rumah di Kampung Rambai, Pauh turut terjejas namun tiada PPS yang dibuka di Parlimen Arau,” menurut JPBN.
Mangsa banjir di Johor juga meningkat
Di Johor Bahru, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di lima daerah di Johor meningkat sedikit pagi ini kepada 498 orang daripada 122 keluarga.
Angka itu mengalami perubahan berbanding 482 orang daripada 118 keluarga setakat pukul 8 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata setakat 8 pagi ini, mangsa banjir yang terjejas juga masih mendapat perlindungan di sembilan PPS.
Katanya, daripada jumlah itu, empat PSS berada di daerah Kluang, dua di Kulai dan masing-masing satu di daerah Batu Pahat, Pontian serta Johor Bahru.
“Daripada sembilan PPS, hanya satu PPS di Kulai yang mengalami sedikit peningkatan jumlah iaitu Surau Kampung Sungai Siam yang kini menempatkan 57 orang daripada 13 keluarga, berbanding 46 orang daripada 10 keluarga malam tadi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu di Kluang, PPS Balai Raya Kampung Parit Haji Hashim masih menempatkan 21 orang daripada tujuh keluarga, manakala Dewan Kampung Kolam Air pula 35 orang daripada sembilan keluarga.
“Begitu juga jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Gabungan Besar Kampung Shaari, kekal 43 orang daripada 13 keluarga dan Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Tengah Renggam, 51 orang daripada 15 keluarga manakala di daerah Kulai, masih mencatatkan angka mangsa banjir tertinggi iaitu 161 orang daripada 36 keluarga ditempatkan di Masjid Al Muhajrin,” katanya.
Tan berkata di Johor Bahru pula, PPS Dewan SK Taman Daya 2, menempatkan 26 orang daripada enam keluarga, diikuti daerah Batu Pahat iaitu 16 orang daripada tiga keluarga di SK Sungai Kajang berikutan ribut.
SK Melayu Raya di Pontian juga masih menempatkan 88 orang daripada 20 keluarga.