
Sumber berkata, perkara itu dimaklumkan oleh UHY Advisory, selaku pelikuidasi interim dalam pertemuan dengan pekerja-pekerja Utusan Melayu di Kuala Lumpur petang semalam.
“Walaupun ada aset, syarikat kekurangan antara RM40 hingga RM50 juta untuk menampung bayaran kepada semua penyedia pinjaman dan pihak yang menyediakan kemudahan cagaran iaitu bank,” kata sumber yang menghadiri sesi taklimat itu, yang diadakan di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Sg Besi, Kuala Lumpur, kepada FMT.
“Urusan perkiraan dan penilaian masih berjalan, terutama membabitkan anak syarikat Kumpulan Utusan,” tambah sumber itu.
Difahamkan anggaran liabiliti Utusan Melayu adalah sekitar RM335 juta. Sementara syarikat itu mempunyai aset sekitar RM190 juta dipercayai kompleks kilang di Bandar Baru Bangi dan premis korporat di Sg Besi serta bangunan-bangunan lain di seluruh negara, ia juga berhadapan dengan defisit sebelum fi bayaran liquidasi sekitar RM145 juta.
“Ini belum termasuk aset melibatkan subsidiari Utusan Melayu,” kata sumber itu lagi.
Mengikut aturan pembayaran, bayaran kepada bank yang bercagar akan diutamakan, dan disusuli dengan yuran liquidator, tunggakan gaji pekerja, pampasan penamatan perkhidmatan pekerja dan bank tanpa cagaran dan lain-lain pemiutang termasuk bayaran pampasan VSS.
Sumber juga memberitahu FMT, para pekerja, sekitar yang 500 orang yang hadir hari ini, dimaklumkan bahawa pengundian untuk melantik pelikuidasi kekal akan dilakukan pada 6 Nov.
“Kami dimaklumkan mesyuarat itu akan dihadiri oleh pihak bank bercagar dan lain-lain pihak berkepentingan. Pengundian akan dijalankan untuk menentukan pelikuidasi kekal,” kata sumber itu.
Bagaimanapun sesi taklimat hari ini tidak dimaklumkan mengenai masa depan lebih 800 pekerja yang hilang pekerjaan ekoran penutupan operasi Utusan Melayu.
“Ia tidak dijelaskan hari ini, tetapi mengikut taklimat hari ini, soal ambil balik pekerja itu terserah kepada pengurusan baru.
“Fokus utama sekarang ialah melunaskan hutang dan liabiliti dengan melupuskan aset syarikat Utusan Melayu. Mereka berjanji untuk menjelaskan bayaran gaji tertunggak bulan Sept dan Okt,” kata sumber itu.
Dua minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Utusan Melayu membayar penuh bayaran pampasan VSS kepada pekerja-pekerja terlibat dalam proses pemberhentian tahun lalu.
Pada masa yang sama, syarikat itu juga diarah membayar gaji dua bulan terakhir iaitu Sept dan Okt sekali gus kepada semua pekerja yang masih dalam perkhidmatan iaitu sehingga 30 Okt.
Pada 9 Okt lalu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata berhenti operasi syarikat itu berkuat kuasa pada tarikh itu susulan keputusan lembaga pengarahnya meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory sebagai pelikuidasi interim.
Pekerja termasuk wartawan dimaklumkan tarikh akhir perkhidmatan mereka adalah hari ini, 31 Okt.
Susulan masalah kewangan difahamkan Utusan Melayu gagal membayar pampasan VSS mengikut tempoh ditetapkan. Gaji bulan Sept dan Okt juga dikatakan tertangguh.
Penutupan Utusan Melayu melibatkan penamatan seramai 815 pekerja.
Utusan telah menawarkan VSS kepada seramai 708 pekerja daripada 1,523 orang pekerja keseluruhannya tahun lalu. Pemberhentian peringkat pertama berkuat kuasa pada 30 Nov 2018.
UHY Advisory telah mengambil alih sepenuhnya syarikat pada 8 Okt lalu.