
Berbeza agama dan bangsa bukan penghalang untuk membantu di antara satu sama lain.
Ia termasuklah sambutan Deepavali baru-baru ini pastinya ada ibu bapa berbangsa India memerah keringat dan runsing untuk mencari pendapatan bagi melengkapkan persiapan anak-anak mereka.
Sememangnya ia bukan perkara mudah untuk dilalui kerana jika mengharapkan bantuan turun dari langit, sudah pasti ia perkara yang mustahil.
Namun memang ada insan yang boleh memberi bantuan, tetapi perlukah mereka datang kepada seseorang untuk mengadu domba nasib yang dilalui dengan harapan akan membuahkan “hasil”?
Dan bukan juga setiap orang yang ditemui mempunyai kudrat untuk membantu orang lain.

Namun bagi seorang guru yang telah berkhidmat selama 14 tahun di Sekolah Kebangsaan Gombak 1, Mohd Fadli Salleh, dia akan sentiasa membantu sesiapa sahaja yang memerlukan termasuk sebuah keluarga yang serba daif dalam melakukan persediaan sambutan Deepavali baru-baru ini.
Kisah ini mendapat perhatian netizen sehingga mendapat 7000 “share” dan ribuan komen tentang aktivitinya yang gemar membantu menerusi Persatuan Dana Kita.

“Hari ini aku membawa Puan Jaya ke Giant untuk membeli persiapan menyambut Deepavali. Setiap anak mereka aku minta ambil 2 helai pakaian.
“Saat mereka memilih pakaian, aku terdengar si ibu berbisik pada anaknya, ‘eh yang ini RM15 sehelai, ambil yang sana, RM12 sahaja kesian cikgu'” tulisnya.
Dia yang terdengar terus datang menghampiri mereka dan berpesan supaya terus memilihnya tanpa melihat pada harga.
Fadli terus bertanya lagi mengapa si ibu tidak mengambil pakaian untuk dirinya sendiri.
“Nanti mahal cikgu nak bayar,” luah si ibu namun menuruti sahaja apa yang disuruh cikgu tersebut.

Kemudian Fadli turut meminta untuk mereka mengambil barang keperluan lain seperti selipar, sabun mandi, ubat gigi, tuala wanita dan lain-lain.
“Sewaktu mereka membeli 2 ekor ayam untuk sambutan Deepavali, aku pilih mainan untuk anak-anak mereka. nampak sahaja aku menuju ke troli bersama mainan, anak dia terus menyentap tangan ibunya lantas berbisik dan aku nampak mata anak itu bersinar gembira. mainan patung untuk anak perempuan, kereta dan pistol untuk anak lelaki.
“Inikan raya, mesti gembirakan kanak-kanak.mesti,” tulisnya di Facebook lagi.
Sewaktu pulang, sekali lagi Fadli menggembirakan hati mereka dengan beratur hampir setengah jam semata-mata membeli KFC kepada mereka, namun Fadli berkata yang dia puas membantu mereka yang memerlukan.
“Ucapan terima kasih bertalu-talu diucap, dia tidak pernah meminta tapi aku yang mencarinya.
“Tidak banyak tapi sentiasa, tidak ramai tapi ada, tidak kaya tapi cakna,” tulisnya sebagai mengakhiri posting tersebut.
Fadli ketika dihubungi FMT berkata dia sudah mengenali keluarga Jaya ini sejak 2017 lagi.
“Saya mengenalinya semasa si ibu baru beranakkan anak bongsu di Hospital Kuala Lumpur, langsung tiada duit nak keluar wad, beli pampers dan sebagainya. Kebetulan katil sebelah itu kawan Facebook saya.
“Jadi saya ziarah ke rumah dia di Batu Muda, Sentul, didapati maklumat yang saya terima adalah sahih. Rumahnya hanya dibina dengan zink dan berlantaikan tanah, tiada paip air, elektrik pinjam kuil sebelah. Jadi saya bantu simenkan lantai, buat paip air, hantar katil, hantar kipas,” ujarnya.
Menurut Fadli segala bantuan itu merupakan sumbangan orang ramai menerusi akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, 564221646925.
Fadli turut mempersoalkan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, yang menurutnya gagal memenuhi janji membantu keluarga itu.
“Rumah mereka bocor sana sini, teruk sangat kebocoran, minta bantuan pada YB dan pihak lain, mereka hanya tabur janji sahaja.
“Tak apalah, kebetulan ramai yang mengirim sumbangan baru-baru ini, aku turun dan bantu buat semua sekali,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]