Bekas isteri Sultan Kelantan tunjuk wajah anak di media sosial

Gambar Ismail Leon yang didedahkan menerusi Instagram Rihana Oksana Gorbatenko.

PETALING JAYA: Rihana Oksana Gorbatenko, bekas isteri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, berkongsi gambar bayi lelaki yang dikatakan anak mereka di media sosial, di tengah-tengah pertikaian siapa bapa bayi tersebut.

Model bekas Rusia itu memuat naik gambar bayi berkenaan di akaun Instagramnya.

“Hello, nama saya Ismail Leon. Saya berusia lima bulan dan ibu saya sangat menyayangi saya,” menurut keterangan gambar.

Hantaran itu menerima lebih 83,700 tanda suka dengan ramai pengikutnya mengulas anaknya “kelihatan seperti bapanya”.

Oksana juga mengambil kesempatan membidas Sultan Muhammad V ketika respons kepada beberapa komen pengikutnya.

Bulan lalu, Oksana memfailkan petisyen paterniti di Mahkamah Daerah Dogomilovsky di Rusia, menamakan Sultan Muhammad V sebagai defendan, selepas menuntut elaun bulanan sebanyak RM123,000 dan hartanah di Moscow dan London bernilai RM47 juta.

Ia selepas peguam Sultan Muhammad V, yang dikahwininya tahun lalu, menolak dakwaan Oksana bahawa beliau merupakan bapa kepada anak mereka.

Ia juga melaporkan sekiranya Sultan Muhammad V enggan menghadiri pendengaran kes atau menjalani ujian DNA, mahkamah boleh menerima tuntutan paterniti Oksana melalui penghakiman ingkar.

Oksana menegaskan Leon adalah anak hasil perkahwinan mereka.

Sultan Muhammad V turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong awal tahun ini, tidak lama selepas laporan perkahwinannya dengan Oksana tersebar.

Pasangan itu kemudiannya bercerai selepas Sultan Muhammad V melafazkan “talak tiga”, sekali gus menjadikan perceraian itu muktamad.

Oksana bagaimanapun terus membuat hantaran klip video dan gambar mereka berdua di Instagram dan menolak dakwaan mereka telah bercerai.