
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata selepas PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas, pentadbiran parti gabungan itu sentiasa meletakkan parti komponennya terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan Amanah, memegang jawatan tertentu secara adil dan seimbang.
Malah, katanya perkara ini adalah bukti bahawa PH mengamalkan sistem pentadbiran yang mementingkan perpaduan kaum serta menghormati antara satu sama lain.
“PH adalah parti yang saksama. Apabila kita menang pada PRU14, memang jumlah kerusi ahli Parlimen dalam empat parti PH tak sama. PKR paling banyak, nombor dua DAP, nombor tiga PPBM dan (keempat) Amanah.
“Macam mana kita (PH) nak seimbangkan, apabila kita melantik ahli Dewan Negara kita cuba seimbangkan. Contohnya parti yang paling banyak kerusi dalam Dewan Rakyat adalah PKR, apabila lantik senator pula, kita tidak lantik terlalu ramai daripada PKR.
“Kita seimbangkannya dengan melantik senator daripada DAP, Amanah dan PPBM,” katanya pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, di sini malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov, manakala undi awal pada 12 Nov.