
Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata isu membabitkan Faizal dan DAP itu hanyalah penerangan dibuat menteri besar Perak ketika dikerumuni warga nelayan semasa berkempen di Tanjung Piai, di mana kerajaan Pakatan Harapan kononnya dikuasai oleh DAP, komponen pakatan itu.
“Dia (Faizal) dihadapkan dengan nelayan yang begitu agresif. Jadi mereka menganggap Pakatan Harapan ini dikuasai oleh DAP. Jadi dia (Faizal) terang walaupun dia seorang, ramai DAP di Perak tapi dia masih jadi MB, dia menguasai kerajaan bukan bermakna DAP menguasai kerajaan.
“Kita terangkan, kira nak bagi dia (warga Tanjung Piai) sokong, walaupun Faizal seorang (di Perak) bukan bermaksud kerajaan dikuasai DAP,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Sehubungan itu Mahathir berkata, ada perkara sebenar yang perlu dijelaskan kepada orang ramai terutama mengenai pengagihan kuasa dalam Pakatan Harapan.
“Kadang-kadang dalam situasi tertentu kita perlu jelaskan keadaan sebenar. Dalam PH ada kalanya DAP menguasai, PPBM berkuasa, kadang-kadang PKR, Amanah,” kata beliau.
Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan Ahmad Faizal mengakui kepayahan menjaga kepentingan Melayu dan Islam yang didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya, DAP.
Yakin Pakatan Harapan akan menang
Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, PPBM yakin akan mempertahankan kerusi Tanjung Piai di mana ramai pengundi yang dahulu menyokong Barisan Nasional (BN) kini menyokong Pakatan Harapan.
“Kita sedar tentang masalah di situ, Tanjung Piai. Kita percaya kita dapat mengatasi masalah (di situ),” katanya.
Mahathir berkata terdapat penduduk Tanjung Piai yang menganggap beliau masih presiden Umno.
“Yang ni kita kena hadap. Saya bukan presiden Umno lagi. Saya ni pengerusi PPBM dan perdana menteri (kerajaan) PH.
“Saya akan turun berkempen pada Rabu ini dan harap pada masa itu mereka tidak anggap saya presiden Umno lagi,” katanya.
Diminta mengulas sama ada kehadirannya untuk berkempen di Tanjung Piai boleh menarik orang ramai untuk mendengar ceramah Pakatan Harapan memandangkan pada masa ini, ceramah MCA dilihat lebih diterima masyarakat di sana, Mahathir berkata ia perlu dilihat ketika beliau turun nanti.
“Saya tidak tahu, kita lihat saja hari selepas esok,” katanya sambil memberitahu, MCA, komponen BN, memainkan isu untuk menyerang DAP.