Mampukah Najib bangkit semula?

Siapa yang tidak kenal dengan Najib Razak. Individu yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia keenam, bermula 2009 dan berakhir pada 2018.

Di saat-saat akhir pentadbiran Najib sebagai perdana menteri, dirinya ketika itu dihina, dicemuh dan dilontarkan dengan pelbagai kata-kata yang kurang enak. Hampir keseluruhan platform media sosial beliau ketika itu dihujani dengan pelbagai kutukan yang datang tanpa henti, siang dan malam.

Beberapa bulan sebelum berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti pimpinannya iaitu Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terumbang-ambing. Pascarombakan Kabinet yang dilakukan Najib menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi BN disingkirkan dan digantikan dengan orang lain. Tiga individu berprofil tinggi iaitu Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir disingkirkan daripada Kabinet.

Bertitik-tolak daripada peristiwa itu, BN mula diserang secara bertubi-tubi dari setiap sudut. Dr Mahathir Mohamad, yang pada suatu ketika dahulu pemimpin utama Umno, meninggalkan parti keramat orang Melayu itu dan memilih untuk menubuhkan parti politik baru. Maka tertubuhlah PPBM dengan matlamat asal penubuhannya adalah untuk menjatuhkan Najib.

Maka, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz memilih untuk berjuang bersama Mahathir. Mereka juga membentuk satu gabungan pembangkang yang baru, terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah. Maka, gabungan itu diberi nama Pakatan Harapan (PH), dan tujuannya juga sama iaitu mahu menumbangkan kerajaan pimpinan Najib.

Perlawanan dalam gelanggang politik pun bermula. Najib mengetuai BN yang dibarisi Umno, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa lagi parti komponen di Sabah dan Sarawak. Di pihak pembangkang pula, Mahathir mengetuai barisan kepimpinan PH dan bertindak sebagai pengerusi. PAS pula bertanding melalui Gagasan Sejahtera dan menawarkan pilihan kepada rakyat Malaysia sebagai parti politik blok ketiga.

Maka, pada 9 Mei 2018, keputusan PRU14 menyaksikan kerajaan BN berjaya ditumbangkang oleh pembangkang dan sejurus selepas itu, Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh.

Tumbangnya BN, mengakibatkan sebahagian daripada sayap-sayap kepimpinan parti, pemimpin-pemimpin tertinggi dan ahli-ahli parlimennya meninggalkan BN dan membawa haluan sendiri. Ada yang melompat pergi ke PH, ada yang membawa haluan sendiri, dan ada juga yang membentuk pakatan politik baru.

Najib memilih untuk berundur dari kerusi presiden Umno merangkap pengerusi BN. Gerakan, parti komponen BN, keluar dari BN pada 23 Jun 2018, enam ahli Parlimen dan sebahagian besar wakil rakyat BN di Sabah keluar parti, dan bermacam-macam lagi yang terjadi sejurus tewasnya BN pada PRU14.

Kegagalan kerajaan pimpinan Najib untuk mempertahankan kuasa, dibebankan lagi dengan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa . Najib dituduh terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram berkaitan 1MDB dan salah guna kuasa melibatkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Keadaan BN yang terumbang-ambing, ditambah pula dengan sumber kewangan Umno yang dibekukan, pemimpinnya pula melompat parti, Najib dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai jenis pertuduhan, memberi gambaran ketika itu bahawa Umno dan BN akan lenyap dan terkubur.

Mana tidaknya, pada awal keputusan PRU 14 diumumkan, BN masih memiliki 79 kerusi parlimen manakala PH menguasai 113 kerusi. Namun, selepas berlakunya pelbagai pergolakan, terkini BN hanya mempunyai 40 kerusi sahaja.

Perubahan statistik ini juga menguatkan andaian bahawa Umno dan BN sikit masa lagi akan lenyap daripada pentas politik negara. Namun, situasi politik beberapa bulan kebelakangan ini seakan-akan menyangkal segala persepsi dan andaian yang buat oleh orang ramai. Umno, BN dan Najib kini nampaknya sudah mendapat nafas baru dalam politik, lebih-lebih lagi selepas kemenangan tiga kali berturut-turut semasa siri Pilihan Raya Kecil.

Mereka menjadi lebih bersemangat dan bernafsu untuk berpolitik.

Namun yang menjadi persoalan ketika ini, mampukah Najib kembali semula ke pentas politik negara dan berjayakah beliau diangkat semula menjadi pemimpin terpenting negara? Adakah dengan pertuduhan yang beliau hadapi ketika ini menjadi penghalang terbesar kepadanya untuk bangkit semula?

Tidak ada yang mustahil dalam politik kerana dalam politik, tidak ada kedudukan yang kekal, tidak ada pertuduhan yang kekal dan segalanya boleh terjadi, bila-bila masa.

Siapa sangka, Mahathir boleh diangkat semula menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh kerana sebelum ini beliau pernah menjadi perdana menteri keempat. Siapa juga sangka, Anwar Ibrahim yang suatu ketika dahulu terpalit dengan pelbagai pertuduhan, kini bebas berpolitik di mana-mana sahaja. Siapa juga sangka di Indonesia, Presiden Joko Widodo melantik musuh politiknya sendiri, Prabowo Subianto sebagai menteri pertahanan Indonesia.

Politik adalah sesuatu yang sukar diramal. Boleh jadi hari ini mereka menang, esok akan tewas. Boleh jadi juga, hari ini mereka pembangkang, tahun depan pula menjadi kerajaan.

Berbalik kepada situasi yang sedang dihadapi Najib ketika ini. Beliau dilihat lebih kepada ‘tunggu dan lihat’. Menunggu apa-apa peluang yang boleh direbut, dan melihat lebih jauh ke depan apa yang boleh dibuat. Selagi Najib bebas bersuara, selagi itulah pihak PH tidak akan duduk senang.

Jika dibiarkannya, boleh jadi populariti Najib meningkat naik manakala populariti pemimpin-pemimpin PH pula yang merosot.

Mampukah Najib bangkit semula? Jawapannya ya, kerana ‘no action’ atau lebih tepat lagi, tiada tekanan kuat dilakukan oleh kerajaan PH terhadap Najib.

Mungkin atas pengalaman selama lebih 30 tahun dalam bidang politik menyebabkan Najib dilihat begitu sukar untuk ‘ditumbangkan’.

Pertuduhan di mahkamah yang mengambil masa begitu lama untuk diselesaikan.

Jangan nanti, kes perbicaraan Najib masih tidak selesai sehingga PRU15, dan ketika itu BN kembali menguasai Putrajaya, PH pula berputih mata.

Syahmi Minhad adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.