PKR makin panas, kepimpinan pusat tolak keputusan Sarawak batal konvensyen negeri

Pengarah Konvensyen Negeri PKR Nik Nazmi berkata, PKR Sarawak tidak boleh sewenang-wenang membatalkan konvensyen negeri itu yang diputuskan secara bersama-sama.

PETALING JAYA: Pengarah Konvensyen PKR Nik Nazmi Nik Ahmad membidas keputusan PKR Sarawak membatalkan konvensyen PKR negeri itu yang dijadualkan berlangsung di Miri pada 23 Nov ini.

Nik Nazmi berkata, PKR Sarawak tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan konvensyen negeri yang sudah dibincangkan dan diputuskan secara bersama memandangkan perbincangan terakhir sudah dibuat pada 14 Nov lalu.

“Berhubung dengan Konvensyen PKR Sarawak, kita sudah mengadakan perbincangan yang panjang sejak September lepas bersama-sama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak. Perbincangan terakhir pada semalam 14 November 2019.

“Seharusnya jika pihak MPN Sarawak percaya dengan semangat demokratik PKR, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berhajat untuk membatalkan Konvensyen Negeri Sarawak yang telah dibincangkan dan diputuskan bersama.

“Justeru Konvensyen Negeri Sarawak akan diteruskan di Pullman, Miri pada tarikh dan masa asal. Komitmen kita kepada disiplin organisasi dan peraturan mesti mengatasi apa-apa tradisi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian merujuk kepada tindakan PKR Sarawak yang memutuskan untuk membatalkan konvensyen di negeri berkenaan selagi isu membabitkan pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi Kongres Nasional Pemuda PKR bulan depan tidak diselesaikan.

Kenyataan ditandatangani Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan beberapa pimpinan tertinggi parti negeri berkenaan, turut melahirkan rasa kecewa mereka terhadap “pengkhianatan tradisi parti” (menjemput timbalan presiden sebagai perasmi kongres tersebut).

Mereka berkata, keputusan itu juga dibuat walaupun diketahui majoriti dua pertiga pimpinan Pemuda PKR Pusat yang dipilih dalam pemilihan lalu menyatakan sokongan kepada timbalan presiden untuk merasmikan kongres nasional berkenaan.

PKR Sarawak turut mendesak campur tangan pucuk pimpinan pusat bagi menyelesaikan kemelut pertelagahan dalaman sayap Pemuda parti.

Nik Nazmi, yang juga ketua setiausaha pengelola PKR itu bagaimanapun berkata, seperti diberitahu Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir semalam, keputusan memilih Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail sudah diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan Pemuda PKR pada 20 Oktober 2019.

“Kelewatan Azmin dalam memberikan respons setelah diberi masa 6 minggu untuk mengesahkan kehadiran turut menjadi faktor penukaran perasmi berlaku. Kegagalan Azmin untuk menghadiri mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat PKR juga menjadikan situasi ini semakin buruk.

“Dalam sebuah parti demokratik, menghadiri mesyuarat amat penting. Kehadiran dalam mesyuarat amat diperlukan agar semua isu boleh dibincangkan. Ia juga akan mengelakkan mana-mana individu untuk mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan mesyuarat,” katanya.

Krisis dalaman Pemuda PKR tercetus apabila Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir mengumumkan pembatalan jemputan kepada Azmin walaupun majoriti pimpinan sayap Pemuda itu yang memenangani pemilihan bersetuju timbalan presiden dijemput sebagai perasmi.

Kenyataan itu semakin panas apabila Azmin, ketika mengulas tindakan Pemuda PKR membatalkan jemputan sebagai perasmi, menyifatkan wujud tangan ghaib yang mendorong Akmal bertindak demikian.

Akmal kemudian menafikan tuduhan Azmin dengan mendakwa sikap Azmin tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.