Bukan saya rancang pertemuan di rumah Azmin, kata Hishammuddin

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menafikan pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang.

PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau yang merancang pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang, malam tadi.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menyatakan kesediaannya untuk disiasat parti berhubung perkara tersebut.

“Tuduhan yang saya mengetuai pertemuan antara Azmin Ali dan ahli Parlimen pembangkang semalam tidak benar sama sekali. Bukan saya yang rancang pertemuan tersebut.

“Namun, jika lembaga disiplin Umno nak siasat saya, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya menerusi Twitter.

Malam tadi, sekumpulan ahli Parlimen BN dipercayai menghadiri mesyuarat di kediaman Azmin, di sebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berundur.

Pertemuan itu, yang dikatakan “hanya makan malam” oleh satu sumber, dihadiri Hishammuddin dan kira-kira 20 ahli Parlimen BN, menurut sumber-sumber yang dekat dengan FMT.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam dalam satu kenyataan hari ini menuduh Hishammuddin sekali lagi mengkhianati rakyat, terutama pengundi Tanjung Piai susulan pertemuan malam tadi.

Lokman juga berkata Hishammuddin sebelum ini menjadi orang tengah Mahathir dengan membawa masuk pemimpin dan ahli Parlimen Umno ke dalam PPBM.

Katanya, beliau telah pun membuat laporan kepada lembaga disiplin dan presiden Umno berhubung penglibatan Hishammuddin dalam menghasut pimpinan dan ahli Parlimen Umno menyertai PPBM pada 30 Oktober 2019.