
Anoop Singh, ketua pengurusan penipuan dan pertikaian di Maybank berkata, rekod bank menunjukkan kad Visa Platinum (Visa) dan American Express Platinum (Amex) Zahid digunakan di Kiev, Ukraine dan Seoul, Korea Selatan antara 2014 dan 2015.
“Untuk penyata kad kredit Visa, bertarikh 24 Ogos 2014, beberapa urus niaga dibuat di Kiev dengan jumlah transaksi yang dibuat sebanyak RM7,609.90.
“Sementara itu, penyata akaun bagi kad Amex, bertarikh 26 Mei 2015, menunjukkan ia digunakan untuk dua transaksi runcit dan pasar raya di Seoul,” katanya dalam perbicaraan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah Zahid.
Anoop menambah satu lagi transaksi dikesan menggunakan kad Amex berjumlah RM1,810.66 pada Jun 2015 di Seoul.
Pegawai bank itu bagaimanapun tidak menyatakan jenis perkhidmatan atau produk yang dibelanjakan Zahid menggunakan kedua-dua kad kredit tersebut.
Anoop berkata Zahid menggunakan kad kredit bank itu sejak 8 Mac 2004 dan berdasarkan pengetahuannya, “pihak bank tidak menerima apa-apa pertikaian mengenai pengebilan atau aduan transaksi tidak sah daripada pemegang kad”.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt kemudian berkata pihak pendakwaan ingin meneruskan siasatan terhadap Anoop pada hari lain serta memohon penyata bank yang berkaitan dikemukakan pada tarikh perbicaraan akan datang.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguhkan hingga 2 Dis.
Terdahulu, bekas pegawai Zahid, Muhammad Nabil Saleh memberi keterangan beliau dilantik sebagai salah seorang pemegang amanah Yayasan Akalbudi pada tahun 2012 dan sepanjang pengetahuannya yayasan itu sememangnya ditubuhkan untuk tujuan amal.