Mujahid umum Roslan Ahmad pengerusi baru Amanah Pulau Pinang

Mujahid umum Roslan Ahmad pengerusi baru Amanah Pulau Pinang

Konvensyen Amanah Pulau Pinang yang berlangsung pagi tadi memilih Roslan Ahmad pengerusi negeri yang baru.

Bekas pengerusi Amanah Pulau Pinang Mujahid Yusof Rawa tidak mempertahankan jawatan, sekali gus mengumumkan pemilihan Roslan Ahmad sebagai pengerusi negeri yang baru.
GEORGE TOWN:
Bekas pengerusi Amanah Pulau Pinang Mujahid Yusof Rawa hari ini mengumumkan ketua Kawasan Amanah Nibong Tebal Dr Roslan Ahmad telah dipilih sebagai pengerusi parti negeri itu yang baru.

Mujahid berkata, konvensyen Amanah Pulau Pinang yang berlangsung dan dirasmikan pagi tadi berjalan lancar dan Roslan dipilih untuk memimpin Amanah negeri.

“Alhamdulillah, konvensyen Pulau Pinang yang mengguna pakai sistem e-undi berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan perwakilan memilih 17 calon sebagai ahli jawatankuasa negeri,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis Sembang Santai Suatu Ketika Dahulu “Cherita Acheen Street” di sini hari ini.

Beliau berharap barisan pimpinan yang baru akan meneruskan hubungan yang baik dengan kerajaan negeri pada masa hadapan.

“Amanah merupakan parti komponen dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan mereka harus membuktikan keupayaan. Daripada tiada kerusi sebelum ini, kami berjaya mendapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang,” katanya.

Mujahid yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau akan memberikan tumpuan kepada tugas parti di peringkat pusat, selepas menolak daripada dicalonkan untuk mempertahankan jawatannya.

Mujahid berkata, dari awal tahun ini, beliau mengumumkan tidak akan bertanding dan beliau konsisten dengan keputusan itu.

“Saya tidak akan mempertahankan jawatan itu supaya saya ada masa untuk menumpu dalam parti di peringkat pusat nanti.

“Saya akan terus menyumbang kepada parti di peringkat pusat dan diharapkan Amanah dapat menjadi parti yang membawa era Malaysia baru ini,” katanya.

Terdahulu, Mujahid turut menghadiri Konvensyen Amanah Pulau Pinang yang dirasmikan oleh presiden Amanah Mohamad Sabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.