
Netanyahu, yang didakwa atas kesalahan rasuah Khamis dan dilihat bergelut bagi menyelamatkan hayat politiknya, membuat kenyataan itu ketika melawat sebuah pangkalan tentera berdekatan sempadan Syria yang dilanda peperangan.
“Langkah agresif Iran di rantau ini dan terhadap kita terus berlaku,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu pada hari ketua angkatan tentera AS Jeneral Mark Milley, berada di Israel untuk bertemu rakan sejawatan beliau, Aviv Kohavi.
Dua pemimpin tentera itu membincangkan “persoalan operasi dan perkembangan serantau”, kata satu kenyataan tentera.
Bercakap tentang Bukit Golan yang ditawan oleh Israel, Netanyahu berkata, “kita akan mengambil semua langkah perlu bagi menghalang Iran menceroboh wilayah kita ini.”
“Ini termasuklah aktiviti perlu bagi menghalang pemindahan senjata berbahaya dari Iran ke Syria, sama ada melalui udara atau darat.
“Kita juga akan mengambil tindakan bagi menghalang usaha Iran menjadikan Iraq dan Yemen sebagai pangkalan pelancaran roket dan peluru berpandu ke atas Israel,” katanya.
Pada Rabu, ketika mengesahkan operasi yang dijalankannya, Israel berkata, jet pejuang negara itu melancarkan “serangan bertubi-tubi” ke atas tentera Iran dan sasaran tentera Syria di Syria.
Kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain, Pemantau Hak Asasi Syria berkata, 23 terbunuh dalam serangan itu, melibatkan 21 pejuang dan 2 orang awam.
Sehari sebelum itu, sistem pertahanan peluru berpandu Israel, “Iron Dome” memintas 4 roket yang dilancarkan dari Syria, yang didakwa dilakukan oleh “tentera Iran”.
Pada Khamis peguam negara Israel Avichai Mandelbit, memaklumkan beliau mendakwa Netanyahu atas pertuduhan rasuah, menipu dan pecah amanah, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa tempoh kepimpinan lebih 1 dekad perdana menteri itu akan berakhir.