Mahkamah benarkan jawi diajar di sekolah Cina, Tamil

Mahkamah benarkan jawi diajar di sekolah Cina, Tamil

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh berkata, jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Mahkamah Tinggi George Town hari ini memutuskan jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia, jadi ia boleh diajar di sekolah Cina dan Tamil.

Ketika menolak permohonan yang difailkan Gerakan, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh berkata, kes itu perlu ditolak kerana jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, pelaksanaan kelas jawi tidak bertentangan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Gerakan dalam permohonannya berkata, pengajaran jawi boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti yang diajar dalam kelas Pengajian Islam.

Gerakan melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Timbalannya, Teo Nie Ching dan kerajaan persekutuan sebagai responden.

Amarjit juga menolak hujah Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali yang Lau tiada locus standi untuk menyaman kerajaan kerana beliau adalah presiden sebuah parti politik.

Amarjit menolak kes itu tanpa kos.

Gerakan sebelum ini berhujah, menjadi amalan biasa untuk jawi diajar dalam kelas Pengajian Islam di sekolah kebangsaan.

Katanya, mengajar jawi di sekolah Cina atau Tamil akan memberi persepsi Islam disebarkan di sekolah vernakular, yang dirasakannya tidak betul.

Ketika membantah permohonan Gerakan, Hanir memberitahu mahkamah, Lau tiada locus standi untuk menyaman kerajaan dan pengajaran jawi tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong mewakili Gerakan. Mak ketika dihubungi berkata, keputusan sama ada merayu atau tidak akan diputuskan dalam beberapa hari lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.