
Katanya, beliau belum memutuskan sama ada akan bertanding semula dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan nanti.
“Saya akan berehat dan berjuang untuk hak Sabah. Saya tidak perlu menjadi ahli Parlimen untuk berjuang bagi hak kami,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lalu yang mengisytiharkan keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Kimanis tidak sah dan terbatal.
Panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dilaporkan berkata, tiada kekhilafan dalam penemuan fakta kes itu oleh hakim pilihan raya.
“Ada beberapa percanggahan dalam tindakan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya secara meluas,” katanya dalam keputusan sebulat suara, sambil menambah tindakan itu menjejaskan keputusan pilihan raya.
Anifah yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, sebelum ini kecewa dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya “kerana orangnya yang gagal”.
Mahkamah Pilihan Raya bersetuju dengan pempetisyen, Karim Bujang daripada Warisan berhubung salah laku ketika SPR mengendalikan Borang 13 dan 14 yang menjejaskan kira-kira 341 kertas undi.
Mahkamah bagaimanapun membersihkan nama Anifah daripada tuduhan rasuah.
Pada PRU14, Anifah memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi dalam pertandingan 3 penjuru, selepas mendapat 11,942 undi berbanding Karim yang meraih 11,786 undi dan calon Parti Harapan, Jaafar Ismail yang memperoleh 1,300 undi.
Anifah meninggalkan Umno tahun lalu atas alasan parti itu gagal memenuhi tuntutan hak Sabah dan beliau mengambil bahagian dalam jelajah serta ceramah untuk mengembalikan hak negeri berkenaan.
Anifah berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk memutuskan tindakan lanjut.