Laporan audit: KTMB rugi hampir RM3 bilion pada 2018

Laporan audit: KTMB rugi hampir RM3 bilion pada 2018

Ketua audit negara berkata, kerugian itu antaranya disebabkan KTMB belum bebas sepenuhnya dalam membuat keputusan, khasnya berkaitan operasi syarikat dan penggunaan aset.

Menurut Laporan Audit Negara, KTMB masih terikat kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi dan Agensi Pengangkutan Awam Darat dalam model pengurusannya.
KUALA LUMPUR:
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati kerugian terkumpul Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga 31 Dis 2018 berjumlah RM2.829 bilion.

Laporan itu berkata, kerugian tersebut antaranya disebabkan KTMB belum bebas sepenuhnya dalam membuat keputusan, terutama berkaitan operasi syarikat dan penggunaan aset.

Katanya, KTMB masih terikat dengan 4 entiti, iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi dan Agensi Pengangkutan Awam Darat dalam model pengurusannya.

“Ia secara tidak langsung menyumbang kepada kedudukan kewangan kurang stabil kerana kebergantungan KTMB sepenuhnya hanya kepada hasil tambang rel. Selain itu, KTMB terikat dengan dasar semasa kerajaan, terutamanya dalam penentuan kadar tambang rel,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Prestasi Aktiviti Perkhidmatan Tren pula, laporan itu mendapati 2 aktiviti utama, iaitu tren antara bandar dan komuter merekodkan kerugian RM39.82 juta hingga RM77.76 juta dari 2016 hingga Julai 2019.

Aktiviti perkhidmatan tren komuter menyumbang pendapatan tertinggi KTMB dari 2015 hingga 2017, namun masih merekodkan kerugian selepas mengambil kira belanja operasinya.

Selain itu, ketua audit negara mendapati wujud kelemahan dalam prestasi dan pelaksanaan aktiviti perkhidmatan tren komuter seperti prestasi bilangan penumpang dan hasil tren komuter belum mencapai tahap kecekapan disasarkan.

“Pencapaian sebenar bilangan penumpang serta hasil menunjukkan penurunan sejak 2016 hingga Julai 2019. Kelemahan lain berpunca daripada Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang lewat disiapkan.

“Ini mengganggu urusan harian penumpang (74.2%) dan ada penumpang yang bertukar kepada mod pengangkutan lain (62.6%).

“Selain itu, tempoh menunggu tren komuter paling lama direkodkan sehingga 256 minit (4 jam 16 minit) berbanding 45 minit yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Penyenggaraan set tren komuter kurang cekap bagi kategori 3 dan 6 gerabak kerana tidak disenggara mengikut jadual serta kontrak penyenggaraan yang belum dimuktamadkan.”

Audit juga mendapati wujud kelemahan signifikan dalam sistem tiket baru kerana terdapat 36,860 aduan mulai Disember 2016 hingga Julai 2019, yang mana sistem tiket baru itu didapati tidak cekap kerana melaporkan terimaan hasil berbeza.

Laporan audit juga mendapati secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan, dapat dirumuskan objektif penubuhan KTMB melalui pengkorporatan KTM belum dapat dicapai sepenuhnya.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati amalan tadbir urus korporat KTMB memuaskan, namun penambahbaikan perlu dilaksanakan dalam aspek setiausaha syarikat, SOP serta pelan strategik perniagaan dan petunjuk prestasi utama selaras amalan terbaik.

Justeru, jabatan audit negara mengesyorkan model pengurusan KTMB sebagai syarikat korporat dikaji semula supaya tidak terhad membuat keputusan operasi selaras objektif penswastaan KTM.

Syor lain adalah KTMB perlu memastikan KVDT dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan tiada lagi kelewatan serta mengelakkan kerugian berterusan bagi aktiviti perkhidmatan tren komuter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.