Pertimbang semula cadangan wujud penjara swasta, peguam beritahu Putrajaya

KUALA LUMPUR: Beberapa peguam meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan mewujudkan penjara swasta di negara ini kerana ada cara lain untuk menangani masalah kesesakan banduan di penjara kerajaan ketika ini.

Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu FMT, sebarang cubaan menswastakan penjara mungkin gagal dan beliau mencadangkan penambahbaikan ke atas sistem parol yang diperkenalkan pada 2008 supaya banduan boleh dibebaskan lebih awal.

“Lembaga Parol perlu lebih fleksibel dalam pembebasan banduan atas alasan berkelakuan baik, jika ada sokongan daripada ahli keluarga.”

Pada 22 Nov lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman dilaporkan berkata, kerajaan sedia mempertimbang untuk mewujudkan penjara swasta bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara seluruh negara.

Katanya, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara, walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.

Beliau berkata, disebabkan tekanan kewangan yang dihadapi negara ketika ini, mungkin tiba masanya kerajaan mempertimbang untuk mewujudkan penjara swasta seperti di United Kingdom.

Rafique bagaimanapun berkata, mahkamah juga boleh menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.

“Dalam hal ini, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang ikat jamin boleh ditawarkan kepada mereka yang didakwa membunuh atau kesalahan berkaitan keganasan amat dialu-alukan.”

Katanya, mahkamah boleh mengenakan sebarang syarat, termasuk penjamin perlu terdiri daripada ahli keluarga dan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan serta menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai.

“Mahkamah juga boleh mengarahkan mereka yang didakwa dengan jenayah serius untuk memakai peranti pemantauan elektronik bagi memantau pergerakan mereka.”

Seorang lagi peguam, Salim Bashir berkata dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pihak berkuasa penjara boleh dikurangkan jika jumlah banduan berkurangan.

Katanya, langkah itu dapat mengurangkan liabiliti kerajaan untuk saman kecuaian jika banduan mati dalam tahanan.

Mengenai penjara swasta, katanya, beliau hanya tahu mengenai penjara awam di luar negara bagi individu yang disabitkan kesalahan menghina mahkamah atau gagal membayar nafkah kepada pasangan.

“Kerajaan perlu mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan, termasuk Majlis Peguam berhubung konsep mewujudkan penjara swasta.”

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, negara berdepan masalah kesesakan kerana ramai banduan ialah warga asing yang tinggal melebihi tempoh atau melanggar undang-undang dadah.

“Saya cadangkan kerajaan mempercepatkan pembaharuan penjara dan mencari jalan mengurangkan belanjawan tahunan untuk makanan, perubatan, kakitangan dan penyelenggaraan bangunan.”