Kenapa perlu beli saham Petronas milik kita, soal pemimpin Sabah

KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin Sabah marah dengan kenyataan Dr Mahathir Mohamad berhubung penjualan saham Petronas kepada 2 negeri di Malaysia Timur dengan berkata, cadangan perdana menteri itu sama seperti membeli hartanah yang sudah menjadi milik negeri itu.

Ketua Pembangkang Sabah, Jeffrey Kitingan berkata, Petronas sudah menjadi milik bersama Putrajaya dan negeri pengeluar minyak.

“Tetapi, apa yang berlaku selama ini? Putrajaya mengambil semuanya – keuntungan dan cukai minyak.

“Sekarang mereka mahu menjual apa yang sudah jadi milik kami. Mereka mahu memberi kami sebuah syarikat yang sudah dirompak kekayaannya daripada sumber semula jadi kita,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, adalah bodoh untuk Sabah atau Sarawak menerima tawaran seperti itu, termasuk sumber yang diambil dari bawah tanah.

Katanya, Petronas mendapat keuntungan dari Sabah dan Sarawak selama 40 tahun dan jika ia menghadapi masalah sehingga tidak mampu membayar 20% royalti minyak seperti dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya, Petronas patut memulangkan haknya untuk mengekstrak gas dan minyak di Malaysia Timur.

“Kami akan gerudi sendiri. Kami boleh beri mereka 5% dan kutip cukai. Biar kami uruskan jika mereka kata mereka sekadar menjana keuntungan kecil.”

Mahathir dalam temubual dengan Reuters berkata, Putrajaya mempertimbangkan penjualan kepentingan Petronas kepada Sabah dan Sarawak kerana 2 negeri itu menuntut royalti lebih tinggi daripada minyak yang diekstrak di kawasan mereka.

Katanya, Putrajaya tidak mampu memenuhi tuntutan menaikkan royalti yang dibayar Petronas kepada 20%, tetapi kerajaan boleh melepaskan kepentingan dalam unit lebih kecil Petronas.

Sabah dan Sarawak memiliki lebih 60% rizab minyak negara.

Aktivis Zainnal Ajamain bersetuju dengan Kitingan yang Sabah tidak patut membeli sebuah syarikat yang dimiliki bersama 2 negeri di Malaysia Timur itu.

Jika ada tawaran sedemikian, katanya, Sabah perlu menolaknya.

Beliau berkata, bukan Sabah yang menyebabkan Putrajaya dibebani hutang dan 20% royalti minyak itu dijanjikan PH sendiri.

“Kita tidak terbabit dalam skandal 1MDB, jadi kenapa kita perlu bertanggungjawab dan menghadapi kesulitan itu?

“Petronas mendapat keuntungan daripada sumber semula jadi Sabah lebih 40 tahun dan sekarang apabila mereka tidak lagi mendapat keuntungan disebabkan operasi laut dalam, mereka mahu memberi syarikat itu kepada kami.”

Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee berkata, minyak dan gas di Sabah serta Sarawak milik 2 negeri itu.

“Saya menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak menolak idea itu supaya pelaksanaan 20% royalti boleh diteruskan tanpa sebarang penangguhan,” kata presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) itu.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah, Simon Sipaun menggesa Putrajaya mengotakan janji untuk menaikkan kadar royalti minyak bagi Sabah dan Sarawak daripada 5% kepada 20% kerana jika gagal berbuat demikian, kepercayaan terhadap Putrajaya akan terhakis.

Katanya, jika Putrajaya tidak mampu memenuhi janjinya kepada Sabah disebabkan hutang ditanggungnya, ia sepatutnya membenarkan kerajaan negeri mengutip hasil itu sendiri dan mengambil bahagiannya terlebih dahulu.

“Dengan cara ini, hutang Putrajaya kepada Sabah tidak akan bertambah,” katanya sambil menambah Putrajaya melanggar Perlembagaan dengan menipu hak ke atas hasil milik negeri itu.

Berdasarkan Perlembagaan, Sabah berhak mendapat 40% ke atas hasilnya, tetapi Putrajaya hanya menggandakan jumlah bayaran ditetapkan daripada RM26.7 juta kepada RM53 juta dalam belanjawan yang diumumkan baru-baru ini.

Di bawah terma asal, Putrajaya akan mengembalikan hasil yang dikumpul dari Sabah dalam bayaran terakru. Bagaimanapun, Sabah menerima bayaran tetap sejak 1974.

Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking berkata, Putrajaya perlu menyatakan jumlah yang dihutang kepada Sabah dari segi hasil dan memberi ruang kepadanya untuk mempertimbangkan sebarang tawaran.

Katanya, Sabah juga perlu tahu nilai sebenar Petronas dan syarikatnya, termasuk pendapatannya.

“Negeri juga perlu mempertimbangkan untuk mengawal usaha baru Sabah ke atas penerokaan gas dan minyak seperti kemampuan menguruskan perniagaan O&G kita sendiri.”