Polis akan panggil Anwar, saksi lain berkait dakwaan Yusoff Rawther

Polis akan panggil Anwar, saksi lain berkait dakwaan Yusoff Rawther

Polis Bukit Aman berkata, semua individu itu akan dipanggil selepas mereka mendapat tarikh sesuai.

Anwar Ibrahim menolak dakwaan dalam akuan berkanun Muhammed Yusoff Rawther dan menyifatkannya cubaan untuk mencemarkan reputasinya.
KUALA LUMPUR:
Polis akan memanggil Anwar Ibrahim dan beberapa saksi berkaitan untuk memberi keterangan selepas Muhammed Yusoff Rawther mendakwa presiden PKR itu melakukan salah laku moral terhadapnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, semua individu itu akan dipanggil selepas polis mendapat tarikh sesuai.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan Yusoff pada Isnin lalu dan akuan berkanun yang dibuatnya.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Yusoff ke Bukit Aman buat kali ke-2 untuk memberi keterangan berhubung kes sama.

Sabtu lalu, Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaannya itu.

Beliau dalam laporan polisnya turut mendakwa diugut sesetengah pihak selepas mengadakan sidang media untuk mendedahkan perkara itu pada minggu lalu.

Yusoff, 26, ialah pembantu penyelidik di pejabat Anwar di Petaling Jaya sehingga awal tahun ini, apabila beliau mendakwa diserang setiausaha politik ahli Parlimen Port Dickson itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Farhash bagaimanapun menafikan dakwaan itu, tetapi Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Farhash.

Yusoff dalam sidang media yang disiarkan di Facebook Live pada 4 Dis lalu mendakwa seorang ahli politik kanan melakukan jenayah terhadapnya yang disifatkan “tidak Islamik, perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, serta tidak bermoral”.

Satu akuan berkanun menjelaskan kejadian yang didakwa berlaku di rumah Anwar di Bukit Segambut kemudiannya tersebar di media sosial.

Anwar menolak dakwaan dalam akuan berkanun itu dengan berkata, ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan beliau sudah membuat laporan polis mengenainya.

Peguamnya Ramkarpal Singh turut mengeluarkan notis undang-undang 7 hari kepada Yusoff menuntut beliau menarik balik dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.