Aplikasi ‘pelacuran’ terpampang di Sri Hartamas dan Bangsar?

Kurang dua minggu lagi menjelang 2020, banyak arus pembangunan yang dibuat di Malaysia selaras dengan teknologi dunia yang semakin canggih.

Namun dalam kecanggihan yang ada, mungkin sesetengah pihak terlepas pandang apabila beberapa perkara yang sebenarnya sensitif pada semua masyarakat namun dipaparkan secara terbuka.

Malah dengan kecanggihan teknologi yang ada menyebabkan ia menjadi tiada batasan apabila aplikasi telefon pintar “khidmat pelacuran” alaf baru iaitu “Sugarbook” diiklankan secara terbuka “billboard” di Bangsar dan Sri Hartamas.

Dalam gambar tersebut dipaparkan seorang lelaki berusia bergambar berpelukan dengan wanita muda cantik berambut panjang dengan mengenakan pakaian berwarna jingga.

Tagline yang digunakan pula “Di sinilah bertemu yang cantik dan yang berjaya”, manakala dalam bahasa Inggeris pula taglinenya “Hey sugar, Upgrade your love life! Chat, Meet, Negotiate”.

Billboard besar yang terpampang di Sri Hartamas dan Jalan Maarof, Bangsar itu berwarna merah mengundang kecaman netizen dalam laman sosial Facebook.

Gambaran iklan tersebut ditujukan kepada golongan muda yang cantik atau kacak untuk mencari duit poket dengan cara hubungan intim untuk “sugar daddy” atau “sugar mommy”.

Malah netizen turut mempertikai mengapa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad meluluskan iklan tersebut untuk dipaparkan secara umum.

Menurut posting itu lagi, seorang netizen yang bekerja di sebuah agensi pengiklanan dikatakan iklan-iklan elektronik seperti yang dipaparkan seperti “Sugarbook” tidak memerlukan kelulusan DBKL.

Melainkan iklan seperti kesihatan hanya perlu mendapat kelulusan.

Mengesahkan perkara itu, Sugarbook menerusi Facebook rasminya dengan bangga turut menjelaskan yang ia adalah kejayaan buat mereka dan ingin dikongsi bersama semua bahawa “billboard” tersebut telah dinaikkan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun difahamkan “billboard” di Bangsar telah diturunkan 10.30 malam tadi selepas menerima aduan pada 7.30 malam.

Perkara ini disahkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Malah pihak DBKL yang baru sahaja mengeluarkan kenyataan mengesahkan papan iklan eletronik itu dimiliki Yayasan Wilayah Persekutuan dan dikendalikan oleh Tetuan “Out Of Home” sebagai operator.

Menurut kenyataan DBKL iklan itu tidak mendapat kelulusan dari pihaknya mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan.

“Pihak operator LED tersebut telah dimaklumkan berkenaan kandungan iklan yang sensitif dengan norma masyarakat Malaysia dan perlu serta-merta mengeluarkan iklan tersebut daripada paparan LED berkenaan.

“DBKL telah mengeluarkan arahan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan dan Out Of Home untuk menarik balik segera paparan iklan tersebut di kedua-dua lokasi terlibat,” kata kenyataan itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]