Banjir Kelantan ragut 1 nyawa, Terengganu kembali dinaiki air

Banjir Kelantan ragut 1 nyawa, Terengganu kembali dinaiki air

3,575 mangsa ditempatkan di PPS di Kelantan, sementara hujan lebat berterusan di Hulu Terengganu dan Dungun menyebabkan beberapa kawasan kembali dinaiki air.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 3,575 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan hari ini berikutan banjir yang turut mengorbankan 1 nyawa.

Mangsa dikenali sebagai Shaimee Ismail, 52, ditemukan penduduk Kampung Renak, Tanah Merah, selepas dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus deras pada 9 pagi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 malam ini, jajahan Jeli mencatat mangsa paling ramai iaitu 1,894 orang (592 keluarga) yang ditempatkan di 11 PPS diikuti Tanah Merah yang melibatkan 1,132 orang daripada 293 keluarga di 22 PPS.

Sementara di Kuala Krai seramai 231 mangsa (66 keluarga) berada di empat PPS manakala Machang, 252 mangsa (79 keluarga) di 3 PPS dan 66 mangsa (23 keluarga) di sebuah PPS di Pasir Puteh.

Laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan 5 sungai utama di Kelantan kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.24m dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillenard 16.41m.

Sungai Golok di Jenob kini 25.64m, Sungai Golok di Rantau Panjang 10.61m dan Sungai Golok di Kuala Jambu 3.30m.

Di Terengganu, hujan lebat berterusan di daerah Hulu Terengganu dan Dungun sejak malam semalam menyebabkan beberapa kawasan kembali dinaiki air.

Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A Rahman berkata setakat 9 malam ini, seramai 88 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di 4 PPS.

Katanya di Hulu Terengganu, seramai 24 mangsa daripada 6 keluarga berada di PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong dekat Ajil manakala di Dungun, 39 mangsa (14 keluarga) dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Minda, 15 mangsa (5 keluarga) di PPS Surau Kampung Besol Lama dan 10 mangsa (2 keluarga) di PPS Balairaya Rantau Panjang.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana JKM pula melaporkan 5 sungai di 3 daerah di Terengganu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Berang di Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Dungun di Kuala Jengai.

Di Pahang, 1,073 mangsa daripada 290 keluarga berada di 8 PPS di Rompin, Bera dan Temerloh, setakat 8 malam ini.

Menurut Portal Info Bencana JKM, seramai 829 mangsa berada di 5 PPS di Rompin, Temerloh (235 mangsa di 2 PPS) dan Bera (9 mangsa di 1 PPS).

Di Johor, keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 2,687 orang daripada 722 keluarga setakat 8 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata semua mangsa masih ditempatkan di 43 PPS di 6 daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

Jabatan Meteorologi Malaysia petang semalam mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.