Habis kedai tomyam tutup, Dr M seloroh gaji penjawat awam RM1,800

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara berseloroh menjawab pertanyaan pemberita mengenai gaji minimum, sehari selepas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan gaji minimum RM1,800 kepada penjawat awam.

“Tidak apa, kita bayar. Habis kedai tomyam semua tutup, tidak boleh bayar gaji,” katanya ringkas ketika ditemui di Persidangan Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Semalam, presiden baru Cuepacs, Adnan Mat cadangan itu pernah dibangkitkan kepada Mahathir sebelum ini dan mahu pastikan pelaksanaan gaji minimum penjawat awam dapat direalisasikan menjelang 2022.

Katanya, Cuepacs mencadangkan jumlah tersebut kerana kos hidup pada hari ini yang terus meningkat.

“Kajian Cuepacs menunjukkan keperluan seorang rakyat perlukan wang minimum RM2,600. Begitu juga kajian Bank Negara sebanyak RM2,700 manakala kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM2,680,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia kelmarin mengumumkan kadar gaji minimum di bandar-bandar utama bawah pentadbiran 57 majlis bandaraya dan majlis perbandaran akan dinaikkan kepada RM1,200 sebulan, berkuat kuasa 1 Jan 2020.

Bandaraya utama yang terlibat ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur.

Manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Bharu.

Turut tersenarai Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.