‘Bah termenung’, lebih 400 di Segamat terus berada di pusat pemindahan

‘Bah termenung’, lebih 400 di Segamat terus berada di pusat pemindahan

Di Kelantan, banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu hampir pulih berikutan keadaan cuaca yang baik sejak semalam.

Keadaan ‘air termenung’ setinggi kira-kira 0.3 meter menyebabkan 432 orang daripada 100 keluarga di Segamat, Johor masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Kelantan dan Sabah setakat 6 petang hari ini bertambah baik dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Bagaimanapun keadaan ‘air termenung’ setinggi kira-kira 0.3 meter menyebabkan 432 orang daripada 100 keluarga di Segamat, Johor masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon menerusi kenyataan berkata setakat 4 petang tadi, kesemua mangsa ditempatkan di 9 PPS.

Katanya, kesemua yang terjejas melibatkan penduduk di Jalan Kolam Air, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kuala Paya, Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah serta Kampung Bukit Tunggal.

Di Kelantan, keadaan banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu hampir pulih berikutan keadaan cuaca yang baik sejak semalam.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri menunjukkan hanya 187 mangsa daripada 72 keluarga masih ditempatkan di 3 PPS di Pasir Mas setakat 6 petang, berbanding 1,243 orang pada 8 pagi.

Daripada jumlah itu, 21 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh; PPS SK Bakong (93) dan SK Kedai Tanjong (73).

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih melepasi paras bahaya pada bacaan 9.30 meter (bahaya 9 meter).

Di Sabah, jumlah mangsa banjir dari beberapa kampung di Beaufort dan Membakut yang dipindahkan ke PPS di Dewan Selagon berkurangan kepada 141 orang daripada 51 keluarga, berbanding 450 mangsa daripada 160 keluarga, pagi tadi.

PPS di Dewan Selagon, Beaufort dibuka pada 6.15 petang, Khamis selepas lebih 10 buah kampung di Beaufort dan 20 kampung di Membakut terjejas banjir selepas hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Agensi Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan beberapa jalan yang menghubungkan kampung yang terjejas banjir sebelum ini kini boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.