RFID di 62 lagi plaza tol mulai 1 Jan

RFID di 62 lagi plaza tol mulai 1 Jan

Pelaksanaan itu merupakan langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang.

Peranti pengesan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Sentul Tambahan, Jajaran Tun Razak Link (TRL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperluaskan pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 62 plaza tol di 24 lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas 1 sebagai antara pilihan mod pembayaran mulai 1 Jan depan.

Antara lebuh raya yang menawarkan RFID adalah Lebuhraya Utara Selatan (Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar; Kempas; Jitra), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Lingkaran Kajang dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth.

KKR dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan itu merupakan langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (Multi Lane Free Flow (MLFF) di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang.

“Pelaksanaan ujian rintis RFID telah diadakan di plaza tol terpilih mulai 2018 dan mendapat respons positif daripada pengguna lebuh raya. Sehingga kini, jumlah pengguna RFID telah mencecah lebih 830,000 pengguna,” menurut kenyataan itu

Kenyataan itu memaklumkan RFID dijangka melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu berhenti untuk menyentuh kad di “reader” selain tiada kos penyelenggaraan kerana tidak memerlukan bateri.

Sistem RFID menggunakan sticker (pelekat) yang dihubungkan dengan Touch ‘n Go e-wallet memudahkan orang ramai membuat tambah nilai secara dalam talian tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau lokasi tambah nilai, kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai RFID boleh layari https://rfid.touchngo.com.my/.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.