Peguam negara pertimbang buka semula kes Altantuya

Peguam Negara Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas akan mempertimbangkan untuk membuka semula kes pembunuhan wanita Mongolia yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak, susulan harapan yang disuarakan bapa mangsa supaya kerajaan baru dapat menegakkan keadilan.

Seorang bekas anggota dan pegawai polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) disabitkan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006.

“Semua orang tahu tidak masuk akal mereka berdua sahaja melakukan perkara itu,” kata Thomas dalam temu bual pada Jumaat. “Jadi kita tahu cerita itu tidak lengkap.”

Mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua lelaki itu bergelut dengan kekurangan motif pembunuhan, sedangkan kenyataan yang dibuat salah seorang tertuduh, Azilah Hadri dalam akuan berkanun (SD) baru-baru ini menunjukkan kemungkinan terdapat motif sebalik pembunuhan tersebut, kata Thomas.

“Lebih banyak lagi pihak polis perlu siasat dan kami akan melihatnya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membuka semula kes itu.

Azilah sedang mendapatkan perbicaraan semula selepas membuat SD yang menuduh bekas perdana menteri mengarahnya untuk menangkap dan menghapuskan Altantuya tanpa kesan atas alasan wanita itu seorang pengintip asing yang memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Najib menafikan sebarang penglibatannya. Pada Jumaat, beliau melafazkan sumpah laknat bahawa beliau tidak pernah memberi arahan seperti yang didakwa dan tidak pernah berjumpa wanita tersebut.

Hukuman mati

Pendirian pihak pendakwaan itu akan memberikan kelegaan kepada Shaariibuu Setev, yang menghabiskan lebih 1 dekad mencari noktah atas kematian anaknya.

Dia berkempen supaya Malaysia meringankan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh melalui rundingan supaya Australia, yang menjadi tempat seorang lagi tertuduh iaitu Sirul Azhar Umar mendapatkan suaka daripada hukuman mati, bersetuju menghantar pulang lelaki berkenaan untuk memberitahu kisah sebenar di sebalik pembunuhan tersebut.

Shaariibuu tidak mahu hukuman mati dikenakan ke atas mereka. “Hukuman mati ke atas pegawai dan anggota polis ini cara yang janggal untuk menghilangkan bukti,” katanya dalam temu ramah di Ulaanbaatar pada 3 Okt.

Altantuya adalah jurubahasa yang boleh berbahasa Rusia dan Cina, kerana dia membesar dan belajar di Rusia serta Mongolia, sebelum ke China untuk mempelajari bidang ekonomi, kata Shaariibuu.

Saksi-saksi dalam perbicaraan kes itu pada 2007 berkata Altantuya bekerja sebagai penterjemah dan terlibat dalam pembelian kapal selam kelas Scorpene, yang kini menjadi subjek siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak berkuasa Perancis.

Saman sivil

Altantuya mati di Malaysia selepas dibawa ke lokasi terpencil di dalam hutan oleh kedua-dua lelaki yang disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Laporan polis menunjukkan wanita itu ditembak dan kemudian diletupkan menggunakan bahan letupan, yang mana Shaariibuu percaya ia digunakan untuk menghapuskan bukti.

Bekas penasihat Najib, Abdul Razak Baginda, yang mengakui mempunyai hubungannya sulit dengan Altantuya, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu kerana kekurangan bukti.

Shaariibuu memfailkan saman sivil terhadap Malaysia bagi mendapatkan ganti rugi untuk keluarganya. Dia bagaimanapun menghadapi kesukaran, kerana mahkamah enggan menggunakan bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan jenayah untuk kes sivil, memaksanya mencari dana untuk menerbangkan saksi-saksi dari Mongolia, Amerika Syarikat dan Australia untuk memberi keterangan.

Dia yang merupakan pesara pensyarah universiti, mencari derma untuk membantu membayar yuran guamannya dan kos mengumpul semula keterangan yang dibentangkan dalam kes jenayah itu.

“Terserah kepada Malaysia untuk menyelesaikannya,” kata Shaariibuu. “Ia reputasi mereka, dan reputasi sistem pengadilan mereka.”