Kajian dapati pekerja Malaysia rasa lebih terpinggir akibat diskriminasi kaum

Laporan kepelbagaian pekerjaan Hays Asia menunjukkan 28% responden percaya mereka terpinggir atau kurang dihormati disebabkan bangsa mereka. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Kajian sebuah firma rekrut mendapati diskriminasi masih menjadi punca utama rakyat Malaysia berasa terpinggir di tempat kerja dan bimbang dengan prospek pekerjaan mereka.

Hays Asia dalam kajian ke atas lebih 2,000 profesional di seluruh Asia antara April dan Mei tahun lalu mendapati 63% responden pernah merasakan diri terpinggir di tempat kerja disebabkan diskriminasi, dengan 51% pernah mengalaminya pada 2018.

Menurut laporan kepelbagaian pekerjaan itu, 28% responden percaya mereka terpinggir atau kurang dihormati disebabkan bangsa mereka.

“Angka itu jauh melebihi 17% purata Asia,” kata laporan itu yang mendedahkan 51% responden menyatakan diskriminasi sebagai punca peluang mereka diambil bekerja berkurangan dengan satu pertiga pernah berdepan keadaan itu.

Sebanyak 25% responden mendapati mereka berdepan diskriminasi kaum, iaitu 10% lebih tinggi daripada jumlah responden yang menghadapi situasi sama di Asia.

Manakala 31% responden merasakan wujud ketidaksamaan dari segi peluang pekerjaan akibat kaum.

“Angka ini meningkat daripada 13% pada 2017 dan 19% pada 2018, menjadikannya tertinggi di Asia dan Jepun.”

Menurut laporan itu, 29% pekerja Malaysia turut menyatakan diskriminasi sebagai punca ketidaksamaan dari segi gaji dan ganjaran, meningkat daripada 19% dan 23% sejak 2017 serta 2018.

Tetapi, laporan itu berkata, kesamaan jantina bertambah baik di Malaysia dari segi gaji dan peluang kenaikan pangkat, namun perbezaan jantina masih menjadi kebimbangan utama di tempat kerja kerana jumlah wanita di peringkat pengurusan berkurangan daripada 46% kepada 40% tahun lalu.

“Walaupun ia adalah peringkat kedua tertinggi di Asia, ia masih perlu diberikan perhatian.

“Ini khasnya selepas 60% responden percaya perbezaan jantina dan penyertaan di tempat kerja boleh memberi kesan positif kepada kepimpinan organisasi berbanding dengan 44% purata Asia.”