Pemandu mabuk bukan isu kaum tapi pencegahan

Pemandu mabuk bukan isu kaum tapi pencegahan

Kita mesti melangkaui isu kaum dan agama dalam menangani penyalahgunaan alkohol dan pemanduan secara mabuk.

kemalangan mabuk

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab seorang pemandu, dalam keadaan mabuk dan khayal angkara alkohol dan dadah, memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan sebuah keluarga menanggung luka perit sepanjang hayat dengan kehilangan insan tersayang – seorang lelaki tidak berdosa, bapa dan suami.

Media sosial dipenuhi kecaman terhadap perbuatan pemuda ini dan di kala semua rakyat tidak mengira kaum atau agama memarahi dan mengkritik tindakan anak muda ini, malangnya ada yang menyentuh latar belakang kaum pemandu mabuk tersebut serta melemparkan kata-kata hinaan terhadap seluruh kaum tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula menyeru hukuman mati dikenakan ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian – saya tidak bersetuju sama sekali kerana langkah ini bukan titik nokhtah untuk membendung gejala memandu dalam keadaan mabuk. Ini adalah teori yang gagal dan berunsur pendekatan kolonial. Sebagai seorang penggubal undang-undang, beliau sepatutnya membuktikan cadangan beliau dengan data, statistik serta piawaian antarabangsa dan amalan terbaik, bukan reaksi terburu-buru seperti ini. Bagus kalau beliau boleh memerhati usaha dan hasil positif antara negara dalam Kesatuan Eropah (EU) yang juga antara negara yang minum bir dengan kadar amat tinggi dan usaha membendung pemandu mabuk.

Saya bersetuju dengan hukuman lebih berat dan tegas, namun ia tidak boleh dilaksanakan tanpa penguatkuasaan lebih kerap dan konsisten, pendidikan dan kesedaran serta infrastruktur mencukupi. Hukuman yang panjang dan denda lebih tinggi hanya berkesan selepas jenayah tersebut dilakukan. Tumpuan yang sama juga mesti diberikan sebelum insiden pemanduan secara mabuk berlaku. Pencegahan adalah kunci untuk mengurangkan kecederaan dan kematian akibat pemanduan mabuk. Dalam kes ini, individu tersebut memilih untuk memegang botol alkohol di satu tangan dan kunci kereta di tangan yang lain, dan dia mesti berdepan natijah perbuatannya tanpa prejudis, kompromi, rasa takut atau pilih kasih.

Di negara seperti Sweden, Belgium, Finland, Perancis, Denmark, Lithuania, Poland, Itali, Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan New Zealand, peranti pengunci alkohol (alcolock) digunakan bagi pesalah berulang di mana satu gajet mengukur kadar alkohol dari tiupan mulut dipasang di kereta sebelum kenderaan boleh dihidupkan. Di Itali bermula tahun ini, pemandu mabuk yang didapati bersalah oleh mahkamah diwajibkan memasang alcolock di dalam kenderaan mereka – dengan kos sehingga 2,000 Euro, bersamaan kira-kira RM9,238.20, untuk tempoh tertentu mengikut hukuman mahkamah. Di kebanyakan negara, penggantungan lesen secara serta-merta terbukti sangat berkesan juga.

Di Perancis, kelab malam, bar dan restoran yang beroperasi pada waktu malam diwajibkan menyediakan alat ujian nafas alkohol (éthylotest) kepada pelanggan. Ujian ini mesti memaparkan had alkohol dalam darah yang dibenarkan bagi mengingatkan pelanggan bahawa memandu dengan had alkohol melebihi paras ditetapkan adalah kesalahan undang-undang. Perancis juga memperkenalkan kempen memandu berhemat dengan inisiatif SAM dengan slogan ‘Celui qui conduit, c’est celui qui ne boit pas’ yang bermaksud ‘Orang yang memandu adalah orang yang tidak minum’. Syarikat pembekal minuman beralkohol seperti Pernod Ricard turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mempromosikan kempen ini di kelab malam dan bar dengan mengenal pasti pemandu yang tidak meminum minuman beralkohol melalui gelang tangan dan pada masa sama menawarkan minuman tanpa alkohol secara percuma di premis tersebut.

Persidangan Keselamatan Jalan Raya Kesatuan Eropah juga menyokong langkah praktikal untuk menghalang pemandu mabuk seperti menyimpan kunci kereta mereka, menawarkan tempat untuk bermalam atau menghubungi rakan untuk membantu menguruskan kemudahan pengangkutan awam untuk pulang. Majlis Keselamatan Pengangkutan Eropah dalam tempoh 25 tahun dari 1993 hingga 2018 menerbitkan tujuh inisiatif untuk menangani pemanduan mabuk di EU. Ini termasuk had kepekatan alkohol dalam darah yang lebih rendah, sekatan, penguatkuasaan, penggunaan alcolock, program pemulihan, keselamatan berkaitan kerja dan kempen pendidikan. Di negara Eropah lain, ‘bartender’ dan pemilik pub boleh menyimpan kunci kereta pemandu mabuk dengan selamat serta menghubungi perkhidmatan pengangkutan untuk menghantar mereka pulang.

Jika seseorang ingin menegakkan hak mereka untuk minum minuman beralkohol, maka mereka juga mesti terikat dengan tahap kebertanggungjawaban dan akauntabiliti yang lebih tinggi untuk tidak memandu bawah pengaruh alkohol. Anda tidak boleh menikmati kemudahan untuk meminum alkohol secara berlebihan sehingga mabuk dan berkeras untuk memandu dalam keadaan mabuk sambil mempertaruhkan nyawa sendiri dan nyawa orang lain yang tidak berdosa di sekeliling anda.

Kita mesti melangkaui isu kaum dan agama dalam menangani penyalahgunaan alkohol dan pemanduan secara mabuk. Kehilangan satu nyawa yang tidak berdosa diratapi oleh oleh semua warga Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Kita berkongsi kesedihan bersama semua keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat tingkah laku yang bodoh dan tidak bertamadun dan bersama dalam mengecam mereka yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk.

Malaysia perlu menyediakan satu pelan jangka pendek dan panjang – sekitar lima atau 10 tahun untuk menangani dan membanteras pemanduan secara mabuk, dengan sokongan sumber kewangan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan serta kerjasama masyarakat bagi mencegah penyalahgunaan alkohol.

Ini bukanlah perang terhadap alkohol semata-mata tetapi terhadap golongan pemandu mabuk. Undang-undang yang ketat sahaja tidak mencukupi. Pemeriksaan kerap dan mengejut polis diperlukan untuk membanteras pemandu mabuk. Kamera badan mesti diwajibkan untuk anggota polis, polis trafik dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai bukti kukuh dalam kes memandu dalam keadaan mabuk termasuklah gagal dalam ujian air kencing, nafas dan darah bagi paras alkohol yang dibenarkan.

Orang ramai juga mesti menyokong usaha ini. Saya sendiri menyaksikan ‘pengumuman’ dalam kumpulan WhatsApp yang memberi amaran tentang sekatan jalan raya dan ujian pernafasan. Bagaimana gejala pemanduan secara mabuk dapat ditangani dan dibanteras jika kita sendiri membenarkannya? Rakan-rakan juga harus menggalakkan penggunaan kemudahan pengangkutan awam apabila mendapati rakan yang lain berada dalam keadaan mabuk. Syarikat yang menghasilkan dan menjual minuman keras serta bir juga mempunyai peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan, sebagaimana peranan positif ‘Brewers of Europe’ dalam menangani isu pemanduan secara mabuk. Semua pihak berkepentingan harus dilibatkan dalam usaha untuk melakarkan satu pelan tindakan nasional yang kukuh dengan jangka masa realistik.

Ini adalah perang terhadap pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab dan bukan terhadap mana-mana kaum, agama atau alkohol itu sendiri.

 

Penulis ialah setiausaha antarabangsa DAP.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.