Ucapan Mei 13: Bahaya seruan perpaduan satu kaum dan satu agama

Ucapan Mei 13: Bahaya seruan perpaduan satu kaum dan satu agama

Saya ingin menyeru rakyat menolak bulat-bulat mereka yang menyeru kepada selain daripada perpaduan rakyat Malaysia.

tajuddin rasdi

Pada pagi Sabtu lalu, 9 Mei, anak saya memacu Proton X50 saya melepasi Hospital Sungai Buloh dan membelok kiri untuk naik ke bukit menuju ke perkuburan 13 Mei. Seperti tahun lepas juga kehadiran saya disambut jalan yang tidak bertar, bersemak dan bertebaran kesan-kesan sampah plastik serta bau hampas organik busuk menusuk hidung. Setibanya saya di khemah sementara yang dipasang, saya disambut oleh Pengerusi Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (Pesawa) Law Jing yang menjemput saya. Saya juga bersalam dengan seorang yang senyum memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Cawangan Khas, Special Branch. Saya pun mengikut pengerusi Pesawa ke tempat duduk di bawah khemah sambil mendengar ucapan seorang Adun. Saya diberitahu yang saya akan berucap sebingkas selepas YB itu berucap.

Tidak ada banyak perubahan pada perkuburan 13 Mei Sungai Buloh. Dari tempat duduk saya, saya dapat melihat dengan jelas batu nisan yang sama bentuk dan sama saiz dengan coretan nama mereka yang terkubur, tarikh kematian dan suatu coretan Inggeris ‘Donated by the Malaysian Government’. Dari sudut coretan nama, ada kubur yang dikatakan ‘unidentified’ atau tiada diketahui siapa si polan yang meninggal dunia. Ada juga nama orang Melayu dan orang India di perkuburan Sungai Buloh tersebut. Walaupun perkuburan ini telah digazet oleh kerajaan sebagai ‘Perkuburan Bukan Islam’ ternyata ada juga orang Islam rakyat Malaysia yang dikebumikan di situ. Dari coretan tarikh, ada yang tercoret 13 Mei 1969 dan ada yang tercoret 14 Mei 1969. Rupanya ada yang meninggal dunia satu atau dua hari selepas peristiwa hitam berdarah dalam sejarah negara kita.

Sekali lagi saya dijemput, untuk kali keduanya bagi memberi sepatah dua kata sebagai ucapan di samping ucapan-ucapan lain. Sebelum saya dijemput tahun lepas, acara tahun-tahun sebelumnya adalah bacaan doa daripada pelbagai agama seperti Buddha, Tao, Hindu, Kristian dan juga Islam. Pengerusi Pesawa menceritakan yang seorang ustaz sering dijemput pada dua tahun ke belakang untuk membaca doa bagi orang Islam yang terkubur di situ.

Malangnya, ada sebuah parti politik yang ideologinya dikatakan ‘Islam’ telah membantah dan saya pula dicari ganti, bukan untuk membaca doa tetapi untuk berucap. Upacara membaca doa bagi penganut-penganut agama lain masih diteruskan seperti sediakala. Seorang YB selalu dijemput untuk berucap dan selalunya YB itu akan memberi sedikit wang sumbangan bagi memelihara perkuburan keramat ini yang tidak diendah oleh negara kita sendiri. Akhir upacara adalah sebuah puisi yang dideklamsikan dan seterusnya acara meletak bunga pada setiap batu nisan.

Berikut adalah teks ucapan yang telah saya sediakan:

“Para hadirin yang dihormati sekalian, sekali lagi saya dijemput untuk berucap serta menumpang hiba, mengingati parut dan berganding harapan pada perkuburan keramat mangsa Mei 13 pada pagi ini.

“Saya ingin membawa tiga perkara sahaja dalam ucapan ringkas saya pada pagi yang mulia ini.

“Pertamanya, saya selaku rakyat Malaysia berdoa semoga kesabaran, kesejahteraan dan kemuliaan menyelubungi keluarga semua mangsa Mei 13 dalam kalangan semua kaum, semua agama dan semua usia. Sewaktu mereka meninggalkan kita semua mereka ini merupakan anak, teman sehidup, ibu bapa, saudara dekat dan sahabat handai rakyat keluarga Malaysia sekalian. Sebagai seorang bapa kepada lima orang anak, sebagai seorang datuk kepada empat orang cucu, saya amat terkilan dan terguris mengenangkan kehilangan orang yang disayangi. Walaupun saya tiada pertalian darah dengan sesiapa pun yang terkubur di sini tetapi saya mempunyai talian saudara sewarga dan saudara semanusia.

“Kedua, saya ingin menegur kumpulan-kumpulan, parti-parti dan individu-individu yang giat menyeru kepada perpaduan satu kaum, menyeru kepada perpaduan satu agama dan menyeru kepada perpaduan satu negeri. Kenapa menyeru sedemikian? Tidakkah mereka ini ketahui bahawa kalau kita menyeru kepada penyatuan serta pepraduan untuk hanya satu kaum maka ia akan mengasingkan dan memusuhkan kaum-kaum yang lain? Tidakkah mereka tahu bahawa kalau menyeru kepada perpaduan satu agama maka ada idividu-individu yang akan menghasut permusuhan dengan agama-agama lain? Peristiwa Mei 13 adalah berpangkal kepada dua seruan utama ini iaitu perpaduan satu kaum dan perpaduan satu agama semata-mata.

“Ketiga, dan akhir sekali, saya ingin menyeru rakyat Malaysia semua untuk menolak bulat-bulat mereka yang menyeru kepada selain daripada perpaduan rakyat Malaysia, selain daripada perpaduan semangat hormat dan kasih sayang antara kita semua kaum dan semua agama dan selain daripada perpaduan untuk bersama-sama memajukan semua kita tidak kira kaum atau budaya untuk menghadapi cabaran masa depan dalam semua hal.

“Semoga roh mangsa Mei 13 menjadi batu petanda atau milestone bagi negara kita untuk bergerak kedepan. Semoga Mei 13 tidak akan menjadi batu nisan kepada bangsa kita dulu, kini dan selamanya.”

Selepas tamat ucapan, sesi bergambar dengan pengunjung diadakan di tengah panas terik perkuburan itu. Setelah selesai saya bergerak untuk meninggalkan tempat keramat 13 Mei tetapi beberapa pengunjung hendak mengambil ‘selfie’ maka terpaksa saya melayan permintaan. Antara mereka yang mengambil ‘selfie’, ada seorang Cina yang menjadi peminat tulisan dan video politik saya memperkenalkan diri sebagai anak lelaki kepada salah seorang yang dikebumikan di situ.

Dia, yang saya kira berusia dalam lingkungan 40-an berkata bahawa dia berkunjung kerana inilah pertama kalinya dia dapat tahu di mana kubur mendiang ayahnya selepas 13 Mei 1969. Saya sebak mengenangkan betapa ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu apa terjadi kepada orang- kesayangan mereka. Pada waktu itu kita tidak mempunyai media komunikasi selicik kini yang boleh memberi ‘real time coverage’ tentang apa-apa maklumat, berita dan insiden.

Akhir bicara, saya ingin menganjurkan menteri perpaduan untuk membuat dengan serba cepat penggazetan tanah perkuburan 13 Mei sebagai memorial negara. Memorial ini adalah untuk memperingatkan kejanggalan kita menyeru kepada seruan perpaduan satu kaum dan satu agama agar usaha jelik ini tidak akan memberi peluang kepada sesiapa bagi memusuhi yang lain demi perpaduan sempit yang dilaungkan. Jangan kita abaikan yang telah pergi supaya kita dapat mengingatkan yang belum pergi agar berucap secara berhemah, bertindak secara sebaik-baiknya serta bertaubat semahunya agar keharmonian antara kita disemaikan bersama, kini dan selamanya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.