Kemenangan Warisan di Kimanis platform kembali hak gas Sabah, kata Leiking

Pengerang di Johor ditransformasi menjadi hub minyak dan gas di Koridor Selatan dan kini menjadi daerah paling cepat berkembang di Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kemenangan Warisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis adalah platform bagi mengembalikan hak kawalan hasil gas di Sabah, kata Darell Leiking.

Timbalan presiden Warisan itu berkata, Kimanis yang merupakan pusat bekalan gas di Borneo dan Malaysia telah disalurkan ke tempat lain seperti Bintulu melalui saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) bagi tujuan tapisan dan pemurnian.

Beliau turut menyalahkan kerajaan negeri yang diketuai Umno sebelum ini yang bertindak menyalurkan sumber gas Sabah ke negeri lain sekali gus menafikan hak Kimanis untuk membangun.

“Kesan buruk bukan sahaja kepada penduduk Kimanis, malah kepada kerajaan hari ini, apabila limpahan ekonomi pembangunan infrastruktur dan penciptaan peluang pekerjaan bukan untuk rakyat Sabah sebaliknya kepada negeri dan bandar lain seperti Bintulu hasil daripada sumber gas Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Darell yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri mendakwa kesan lain susulan keputusan kerajaan terdahulu kepada Sabah ialah negeri itu kehilangan hasil pelaburan.

“Kita terlepas peluang untuk menerima satu pelaburan asing tahun lalu bernilai berbilion ringgit yang mampu menjadikan Sabah pusat pengeluar baja terkemuka di dunia, tetapi tidak dapat direalisasikan akibat tiada kawalan langsung terhadap sumber gas negeri.

“Jika direalisasikan ia mampu memberi manfaat ekonomi kepada sehingga kepada 5,000 rakyat Sabah. Sebenarnya, banyak peluang pelaburan yang terpaksa dilepaskan oleh Sabah kerana sebahagian mereka beralih arah untuk melabur di Bintulu kerana kita tidak memiliki kuasa kawalan terhadap sumber gas negeri ini,” katanya.

Beliau turut mendakwa pemimpin Umno telah menghina rakyat Sabah apabila berkata Kimanis merupakan daerah yang ketingalan.

“Merekalah yang melakukan semua perancangan saluran gas ini ketika berkuasa dahulu,” katanya.

Katanya, jika hak kawalan hasil gas dikembalikan kepada Sabah maka ia dapat menguranglan kebergantungan bantuan kewangan daripada Putrajaya.

“Bayangkan kekecewaan kita, rakyat Sabah, apabila Pengerang di Johor yang tidak memiliki sumber asli, ditransformasi menjadi hub minyak dan gas di Koridor Selatan dan kini menjadi daerah yang paling cepat berkembang di Malaysia, sedangkan Kimanis yang kaya dengan hasil bumi, tetapi ketinggalan jauh.

“Gas adalah faktor pemangkin dalam bidang pembuatan, jadi dalam usaha kita menjadikan Sabah sebagai hab dan kuasa pengilangan dan pembuatan negara, pertamanya kita harus diberi hak mengawal sumber gas kita sendiri.

“…dan untuk memiliki kawalan sumber ini, kita perlu mentadbir kawasan ini (Kimanis) untuk mencegah sumber asli terbabit daripada disalurkan ke daerah dan negeri lain melalui kawalan had jumlah ia boleh disalurkan,” katanya.

Katanya, isu kawalan gas ini adalah satu daripada 4 isu tertunggak daripada keseluruhan 21 yang dibentangkan dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana perkara ini memerlukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.

“Saya rasa semua ini berkaitan, Kimanis adalah daerah gas dan menjadi pintu aliran gas negeri ini disalurkan ke negeri lain.

“Perbincangan antara ketua menteri Sabah bersama perdana menteri mengenai hal ini masih diteruskan dan sekarang kita berdepan PRK sebelum Mac tahun ini (ketika isu hak Sabah akan dibentangkan di Dewan Rakyat).

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan.

BN mempertahankan kerusi yang dimenangi selama 3 penggal sejak 2004 dengan mempertaruhkan Mohamad Alamin, yang dicabar calon Warisan, Karim Bujang.