
Abdul Hamid berkata, siasatan dijalankan membabitkan semua sudut, termasuk memastikan ketulenan rakaman itu dan akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Siasatan yang dijalankan dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, iaitu penjawat awam mendedahkan siasatan rasmi kepada pihak tidak sepatutnya.
“Seksyen 218 Kanun Keseksaan pula ialah penjawat awam membentuk rekod atau tulisan yang tidak betul untuk selamatkan seseorang daripada hukuman,” katanya dalam sidang media, di Bukit Aman, hari ini.
Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, iaitu perbuatan mendedahkan rahsia rasmi.
Pada masa sama, Abdul Hamid semua pihak perlu memahami tugas polis kerana ketika ini terdapat senarai panjang isu yang perlu diselesaikan pihaknya.
“Ia amat membebankan pihak saya, tetapi iyalah kami ini makan gaji, terpaksalah menjalankan tugas dan amanah ini. Tetapi kalau tuan-tuan desak kami, minta cepat itu dan ini, demamlah kami.
“Cuba fahami masalah yang kami hadapi. Untuk sesuatu kes itu disiasat, bukannya melibatkan satu orang, ia melibatkan satu pasukan, bukan sahaja pegawai dari Bukit Aman,” katanya.
Menurut Abdul Hamid, pihaknya turut akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara, memandangkan SPRM sebelum ini memberitahu pihak mereka memperoleh rakaman audio berkenaan menerusi sumber tertentu.
“Adalah amat penting untuk kita buktikan kesahihan rakaman audio berkenaan. Undang-undang juga menyatakan “wire tapping” merupakan salah satu bidang kuasa polis dan ia dibenarkan,” katanya, tetapi enggan mengulas lanjut perkara itu.
Pada satu sidang akhbar Rabu lepas, Latheefa mendedahkan rakaman audio dikatakan membabitkan Najib dan 7 individu lain berkait skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC Internatonal.
Rakaman selama 45 minit itu diperdengarkan kepada umum pada sidang media di Putrajaya.
Latheefa berkata, rakaman audio itu diterima pihaknya beberapa hari sebelum itu membabitkan dakwaan salah guna kuasa, konspirasi jenayah, selain merupakan percubaan untuk menutup keadilan.
Rakaman perbualan telefon itu dikatakan berlaku pada Jan, Feb dan Jul 2016.