Pembangkang kelirukan orang ramai berkenaan pengurangan kadar tol, kata Guan Eng

Pembangkang kelirukan orang ramai berkenaan pengurangan kadar tol, kata Guan Eng

Lim berkata, kerajaan PH sepatutnya boleh menghapuskan tol sekiranya kerajaan lepas meninggalkan ekonomi negara dalam keadaan baik.

Bermula 1 Feb, kadar tol di lebuh raya PLUS dikurangkan 18%.
GEORGE TOWN:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pemimpin parti pembangkang bertujuan mengelirukan orang ramai mengenai pengurangan kadar tol 18% di lebuh raya PLUS kerana iri hati bahawa kerajaan sebelum ini gagal berbuat demikian pada masa pentadbiran mereka.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menjimatkan RM42 bilion yang sepatutnya dibayar kepada PLUS Malaysia Berhad sebagai pampasan kerana tidak menaikkan harga tol.

Buat masa ini kerajaan tidak dapat memansuhkan bayaran tol, tetapi berjaya mengurangkannya sebanyak 18%, katanya.

Sekiranya kerajaan PH tidak berbuat apa-apa, maka kadar tol akan meningkat 3% setiap 5 tahun, katanya, pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh di SJK (C) Sin Kang di Air Hitam di sini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan exco kerajaan Jagdeep Singh Deo.

Lim berkata, kerajaan sepatutnya boleh menghapuskan tol sekiranya kerajaan lepas meninggalkan ekonomi negara dalam keadaan baik.

“Kerajaan kita sekarang bersih dan sedang berusaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Lim berkata, usaha kerajaan menyebabkan penilaian Transparency International Malaysia (TI-M) ke atas Malaysia dalam indeks rasuah meningkat ke tangga 51 berbanding 61 tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.