SKMM belum putuskan gesaan Mujahid sekat Sajat di media sosial

Nur Sajat mencetuskan kontroversi selepas memuat naik video beliau bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) belum membuat keputusan berhubung gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa untuk menyekat usahawan transgender Nur Sajat daripada memuat naik kandungan di media sosial.

Mujahid membuat gesaan itu selepas Sajat memuat naik video beliau memakai telekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

Menteri itu yang mengadakan pertemuan dengan SKMM semalam, dilaporkan berkata tindakan tegas akan diambil SKMM terhadap Sajat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, sesiapa saja boleh membuat aduan kepada SKMM, tetapi mereka perlu mematuhi proses sewajarnya.

Katanya, ini bermakna polis perlu menyiasat aduan itu dan menyerahkan hasil siasatan kepada SKMM.

“Jika penemuan mereka sejajar peruntukan SKMM, maka mereka akan bertindak sewajarnya, seperti memuat naik kandungan menyinggung perasaan.

“Buat masa ini, kita belum membuat keputusan, saya percaya kita akan meneliti semua maklumat yang ada, kita tidak boleh buat kesimpulan dan perlu mematuhi proses sewajarnya serta undang-undang.”

Mujahid bertegas Sajat perlu menunaikan ibadat umrah sebagai lelaki.

Katanya, SKMM mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana kandungan media sosial yang boleh “menimbulkan rasa tidak selesa, khususnya kepada umat Islam”.

Sajat yang menjalankan perniagaan produk wanita, mencetuskan kontroversi selepas memuat naik video beliau bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah dan Mujahid mendakwa Sajat mencemarkan imej Islam serta hubungan baik Malaysia dengan Riyadh.

Sajat dilaporkan berpakaian lelaki ketika menaiki pesawat, tetapi bertelekung selepas tiba di Mekah.

Kumpulan hak asasi transgender, Justice for Sisters menyelar kenyataan Mujahid kerana bimbang dengan keselamatan Sajat di Arab Saudi yang menghukum golongan itu berdasarkan ekspresi atau cara pemakaian mereka.

Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad al-Bakri dilaporkan berkata, Sajat perlu menunaikan umrah sebagai lelaki kerana jantinanya yang didaftarkan dan disahkan melalui kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara ialah lelaki.

Katanya, walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukum umrah, perbuatan Sajat haram dan dikira berdosa, serta boleh didenda kerana melanggar wajib umrah.